24 Jun 2023, 09:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa baginda percaya setiap masalah ada penyelesaiannya dan tiada yang mustahil jika kita terus berusaha dan tidak berputus asa. Oleh itu, inisiatif untuk membangunkan kembali golongan yang terjejas seperti asnaf dan B40 khususnya akibat COVID-19 amatlah dititikberatkan.

Perlu kita ingat bahawa setiap suatu perkara perlu diselesaikan daripada akarnya. Maka dengan itu, sebelum golongan asnaf ini dibimbing, pembangunan untuk menambah kepakaran kepada para guru kaunselor di seluruh negeri Perlis ini perlu dijayakan.

Tujuannya adalah supaya kaunselor dapat lebih mendekati dan menyelami isi hati dan konflik dalam kalangan asnaf.

Sesungguhnya, sokongan yang jitu dan padu perlu untuk menambah keyakinan kepada golongan asnaf dan B40 ini supaya mara ke hadapan dan berusaha untuk mengubah nasib mereka ke arah yang lebih baik dan bermakna.

Pemangku Raja Perlis DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan majlis penutupan Bengkel Pembangunan Insan Terpilih Madani di Dewan Kota Melaka, Park Avenue Hotel, Sungai Petani, baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda dan Raja Puan Muda Perlis DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengerusi Faizuddin Centre Of Educational Excellence (FCoEE), Datuk Prof. Emeritus. Dr. Kamarudin Hussin; Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Perlis Sektor Pembangunan Murid, Che Rasaidi Che Yob dan Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan & Perkhidmatan Pelajar, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr. Farah Farhana Zainal.

Bengkel tersebut dianjurkan oleh Faizuddin Centre of Educational Excellence dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan UniMAP.

Menurut Dr. Kamarudin, antara inisiatif untuk mengubah kehidupan keluarga asnaf ke arah hidup yang lebih baik adalah melalui cetusan idea untuk memperhebat guru kaunseling khususnya di negeri Perlis. Jelas beliau lagi, “Setiap permasalahan perlu diselesaikan dari akarnya dan Bengkel Pembangunan Insan Terpilih Madani ini diadakan untuk memperkasakan guru kaunseling demi merubah kehidupan keluarga asnaf di Perlis”.

Program ini turut bermatlamat untuk mengukuhkan kumpulan terlatih pembangunan insan melalui gabungan pelajar dan guru kaunseling yang dilihat mempunyai potensi kuat dalam menangani isu kekeluargaan dalam keterjaminan pendidikan terutama keluarga asnaf dan B40.

Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil sedang mendengar penerangan ketika berkenan berangkat menyempurnakan majlis penutupan Bengkel Pembangunan Insan Terpilih Madani di Dewan Kota Melaka, Park Avenue Hotel, Sungai Petani, baru-baru ini.

Program ini akan melalui tiga fasa, iaitu  fasa 1 “Bengkel Pembangunan Insan Terpilih Madani” yang melibatkan guru kaunseling di Perlis. Manakala fasa 2 pula ialah “Bengkel Intensif Pembangunan Insan Terpilih Madani” yang melibatkan sebanyak 50 orang Ketua Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih (KPPIM), 200 orang pelajar sekolah dan universiti Rakan Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih Madani (RPPIM).

Seterusnya, fasa 3, iaitu yang terakhir ialah “Bengkel Pembangunan Insan Terpilih” yang akan mempraktikkan modul “turun padang”, iaitu peserta program akan menjadi Ketua Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih yang seterusnya akan membimbing Rakan Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih MADANI yang terdiri daripada pelajar sekolah dan universiti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.