Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSaya sendiri tidak memahami akan perangai anak saya. Pertanyaan saya tidak dijawab, kalau dijawab sekalipun sekadar jawapan ‘ya’ atau ‘tak’ dan dalam keadaan yang lain, jawapannya pasti menjengkelkan. Apabila saya menasihatinya untuk berhati-hati apabila keluar bersama-sama rakannya, hal itu pasti mewujudkan keadaan tegang antara saya dengannya seolah-olah saya sebagai ibunya tidak layak untuk menasihatinya.
Panggilan telefon saya tidak dijawab, sebagai ibu sudah pasti saya ingin mengetahui apa-apa yang anak saya lakukan, makan atau minumnya dan di mana beliau berada, namun berkali-kali saya hubungi untuk bertanya akan hal itu, namun panggilan saya tidak berjawab meskipun beliau sedang aktif di aplikasi WhatsApp.
Anak-anak lebih gemar menyendiri. Berkurung di dalam bilik dan tidak mengendahkan apa-apa yang berlaku di sekelilingnya. Mereka hanya akan keluar dari bilik untuk makan atau minum. Apabila ada keperluan mereka yang perlu dipenuhi, mereka akan cuba mewujudkan suasana mesra dan selepas tuntutan itu dipenuhi, mereka tidak lagi peduli akan perkara yang lain.
Tiga rungutan yang dirakamkan daripada tiga orang ibu dan bapa remaja berusia 15 tahun hingga 18 tahun itu membuktikan wujudnya kekeliruan yang membawa kekecewaan terhadap anak mereka. Malah ada dalam kalangan ibu bapa yang menyalahkan diri sendiri seakan-akan mereka gagal mendidik anak lebih-lebih lagi ada dalam kalangan ibu bapa ini yang bekerja. Mereka juga menyatakan rasa kekecewaan mereka apabila ada anak dalam kalangan rakan mereka yang memiliki sikap yang berlawanan daripada sikap yang ditonjolkan oleh anak mereka.
“Anak rakan sekerja saya amat menghormati ibu bapanya. Sopan ketika berbicara dan tidak pernah mengendahkan kata-kata ibu dan ayah mereka. Hal ini menjadikan saya tertanya-tanya, di manakah silap saya dalam mendidik anak sendiri?” Luah Puan Lyiana Aziz, 53 tahun, berasal dari Kuala Lumpur.
Menurut kajian Science ABC, pada hakikatnya remaja cenderung untuk menunjukkan tingkah laku memberontak kerana gabungan beberapa faktor, iaitu hormon, perkembangan tingkah laku, masyarakat, alam sekitar dan juga teknologi. Faktor ini membawa kepada tingkah laku yang mencabar kuasa, menunjukkan kebebasan, menggalakkan hujah dan mencari perhatian. Maka itu, Science ABC merumuskan perubahan tingkah laku ini sebagai memberontak!
Persoalannya, apakah faktor yang mencetuskan pemberontakan dalam diri remaja?
Meskipun meramal tindakan dan niat remaja merupakan perbuatan yang sukar dilakukan, tetapi masih wujud beberapa perkaitan dalam perubahan tingkah laku golongan muda ini. Walaupun pengalaman setiap individu adalah berbeza, namun banyak pakar psikologi mengenal pasti perubahan tersebut dengan mengaitkannya dengan beberapa faktor utama, antaranya termasuklah perkembangan neurologi, perubahan hormon, peranan pihak berautoriti, pengaruh media sosial dan mencari penerimaan serta perhatian.
Setiap manusia akan melalui perkembangan neurologi pada usia 13 tahun hingga 19 tahun. Paling ketara, pada usia ini, korteks prefrontal otak sedang berkembang yang banyak berkait rapat dengan pembangunan personaliti, perancangan, penaakulan logik dan struktur pertuturan. Penaakulan logik dan kapasiti ini akan mendorong penaakulan dan pertuturan yang kompleks, iaitu sama dengan keupayaan untuk berhujah dengan lebih berkesan. Korteks prefrontal bukan satu-satunya bahagian otak yang berkembang dalam tempoh yang mencabar itu, tetapi brainstem, occipital lobe, parietal lobe dan serebelum juga akan sangat berbeza pada usia 10 tahun berbanding dengan mereka yang berusia 20 tahun. Keadaan ini akan mempengaruhi segala-galanya, iaitu daripada pemprosesan bahasa dan pembentukan pertuturan kepada kapasiti ingatan – semuanya memupuk perkembangan dalam diri seseorang remaja.
Perubahan hormon juga menjadi faktor utama remaja memberontak. Banyak orang menyebut perubahan hormon sebagai akil baligh. Hal ini bermakna dari segi fisiologi remaja mengalami perkembangan besar hormon baharu, iaitu hipotalamus. Dalam hal ini, kanak-kanak perempuan mengalami peningkatan estrogen, manakala kanak-kanak lelaki melalui peningkatan testosteron. Kanak-kanak perempuan akan mula datang haid, berlaku perubahan saiz pada payudara, perubahan bulu badan dan bau badan. Kanak-kanak lelaki pula akan melalui perubahan pada alat sulit, bulu pada kemaluan, suara dan bulu pada bahagian tertentu di wajah mereka. Pada ketika ini, bentuk badan mereka akan berubah dengan pantas dan otak mereka pada dasarnya akan bertindak balas terhadap bahan kimia baharu dalam masa yang nyata. Emosi yang meningkat dan tahap keagresifan dan spontan yang lebih tinggi akan turut berlaku.
Seorang kanak-kanak mempunyai autonomi yang sangat kurang memandangkan kebanyakan kanak-kanak sangat bergantung pada ibu bapa atau penjaga sebelum usia remaja mereka. Makanan yang mereka makan, tempat yang mereka pergi, mainan yang mereka mainkan dan hiburan yang mereka terima pada dasarnya dipilih oleh orang lain. Pada zaman remaja, apabila keupayaan mereka untuk membuat pilihan sendiri berkembang, remaja ingin mencipta identiti mereka sendiri. Daripada bergantung pada bimbingan dan kawalan ibu bapa mereka, remaja lebih bereksperimen dan ingin mencuba perkara baharu untuk menentukan perkara yang difikirkan lebih sesuai dengan personaliti mereka yang sedang berkembang.
Dalam sesetengah kes, remaja akan beralih kepada sikap yang keterlaluan, iaitu yang bertentangan dengan semua yang mereka ketahui atau lalui sebelum ini, antaranya termasuklah pemberontakan secara terang-terangan. Pada ketika ini, ibu bapa akan berasa jengkel dengan perubahan tersebut kerana mereka dilihat seolah-olah seperti “terlepas daripada landasan” atau tidak menghormati “nilai kekeluargaan”.
Apabila remaja meningkatkan keupayaan mereka untuk menaakul, berhujah dan bertanya “mengapa?”, konflik akan mula meletus. Mereka juga berasa kurang takut terhadap pematuhan disiplin di rumah kerana remaja mula mengenali bahawa ibu bapa mereka sebagai manusia biasa yang juga tidak memiliki kesempurnaan.
Pada tahap ini, remaja mula bertindak menentang ibu bapa, guru atau pihak berkuasa seperti polis. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja dikatakan menolak had (peraturan) yang sentiasa ada. Kebencian terhadap kawalan boleh berkembang pada tahap ini yang pada akhirnya mendorong remaja untuk melanggar peraturan dan bereksperimen dengan perkara yang sebelum ini dilarang.
Remaja pada hari ini mempunyai juga faktor baharu yang besar dalam tingkah laku dan personaliti mereka, iaitu Internet, dan lebih khusus lagi, media sosial. Platform ini telah menjadi begitu meluas dalam kehidupan mereka sehingga kita sendiri hampir tidak menyedari akan ketagihan kolektif yang berlaku, tetapi yang pasti pengaruhnya tidak dapat dinafikan. Remaja secara tradisinya arif dalam hal kemajuan sains dan teknologi baharu, khususnya media sosial.
Dalam hal ini, kehidupan dan pemikiran kita kini boleh dikongsikan dengan ratusan, ribuan atau jutaan orang dengan satu klik. Terdapat juga berbilion laman web yang mengandungi pengetahuan kolektif, pengeluaran dan tingkah laku manusia. Pendedahan terhadap maklumat di Internet ini mendedahkan lagi remaja terhadap banyak perkara antaranya termasuklah penerokaan seksual dan definisi identiti. Dalam hal ini, media sosial menjadi sempadan baharu bagi ekspresi dan pemberontakan remaja. Inilah cabaran baharu untuk ibu bapa pada masa kini dan akan datang.
Sebahagian besar obsesi remaja di media sosial adalah keinginan untuk diterima oleh banyak orang. Maka itu, tanda suka dan kongsi menjadi sesuatu yang penting untuk remaja. Selain itu, remaja sememangnya mendambakan perhatian khususnya yang berkait dengan keperibadian dan pencapaian mereka dan mengiktiraf mereka sebagai individu yang sempurna. Walau bagaimanapun, bagi remaja yang mempunyai adik-beradik, mereka akan berusaha mendapatkan perhatian daripada rakan sebaya mereka atau sumber luar yang lain. Tingkah laku mencari perhatian ini mungkin akan diterima secara positif atau ditolak dengan pelbagai alasan yang pastinya akan memberikan kesan kepada emosi remaja.
Maka itu, apakah ada sinar penyelesaian terhadap pemberontakan remaja ini?
Sebagai ibu bapa, anda mungkin tidak mampu memahami tingkah laku dan tindakan pelik anak anda ketika usia remaja. Remaja juga tidak semestinya memahaminya! Hal ini dikatakan demikian kerana remaja tidak mempunyai kesedaran tentang cara mereka bertindak atau tentang impak daripada tindakan mereka. Sebagai contoh, mereka menganggap bahawa menghabiskan masa di media sosial sebagai tindakan yang normal dan bukan sesuatu yang membimbangkan ibu bapa atau penjaga mereka.
Dalam hal ini, terdapat terlalu banyak pemboleh ubah untuk dipertimbangkan dalam kehidupan dan minda seorang remaja. Hal ini bukan untuk mengatakan bahawa mereka harus diberi ruang untuk tingkah laku yang kurang disenangi, tetapi ibu bapa harus mempertimbangkan bahawa fasa remaja merupakan tempoh yang amat mengelirukan golongan tersebut. Antara cara terbaik untuk ibu bapa mengurus pemberontakan remaja termasuklah bertenang dan mengekalkan kawalan terhadap anak mereka, serta berusaha menghormati keperluan mereka. Cubalah fahami isu mereka, tetapkan peraturan yang sesuai untuk umur dan personaliti mereka, dan wujudkan gaya keibubapaan yang sesuai dengan tindakan anak anda.
Dalam banyak keadaan, formula yang berkesan terhadap seorang remaja tidak semestinya berkesan terhadap remaja yang lain. Memahami inti pati keperibadian yang berbeza ini amat penting apabila berhadapan dengan remaja yang memberontak. Memberikan tumpuan kepada tingkah laku yang baik dan berusaha untuk mengekalkan corak komunikasi yang sihat adalah pendekatan asas yang boleh diambil oleh ibu bapa. Dalam kes pemberontakan yang serius, iaitu situasi yang membahayakan diri mereka atau orang lain, kaunseling untuk ibu bapa dan remaja boleh membantu mereka untuk membetulkan haluan kepada tingkah laku yang sihat.
Hakikatnya, menjadi ibu bapa kepada remaja bukanlah tugas yang mudah, tetapi begitu juga dengan menjadi seorang remaja! Setiap keluarga dan remaja adalah berbeza, tetapi memahami beberapa punca pemberontakan remaja adalah penting untuk dilakukan. Sebagai ibu bapa, cubalah melihat sesuatu dari perspektif remaja, hal ini sedikit banyak mampu membantu anda memahami segala proses yang berlaku. Masa remaja pasti akan berakhir – setiap remaja akan bertukar menjadi dewasa – sama ada remaja beralih kepada tingkah laku yang lebih baik atau lebih teruk, semuanya akan ditentukan setelah mereka berada di garisan penamat fasa tersebut dan beralih ke zaman dewasa.