29 Jun 2023, 16:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar –  Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perlis (JPV Perlis) mengeluarkan sebanyak 1075 permit penyembelihan bagi musim korban tahun 2023.

Daripada jumlah itu, 791 Permit Sembelih Luar (PSL) dikeluarkan bagi penyembelihan lembu dan kerbau, manakala 284 PSL dikeluarkan untuk penyembelihan kambing yang dimohon untuk dilaksanakan di luar rumah penyembelihan seperti masjid, surau atau mana-mana lokasi yang menjalankan ibadah tersebut.

Selain itu, terdapat juga penyembelihan yang dilaksanakan di Rumah Sembelih Jabatan di Jejawi serta Rumah Sembelih Swasta yang ditauliahkan.

Demikian seperti yang dipersembahkan dan dimaklumkan ke hadapan Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail oleh Timbalan Pengarah JPV Perlis, YBrs. Dr. Madihah Mohd Zin pada petang semalam.

Tuanku Pemangku Raja Perlis berkenan berangkat ke Kompleks Veterinar Negeri Perlis di Kangar bagi menerima sembah taklimat berkaitan dengan perkembangan pengurusan ibadah korban di Perlis bersempena dengan Zulhijah bagi tahun 1444 Hijrah pada kali ini.

Tuanku Pemangku Raja Perlis semasa berangkat ke Kompleks Veterinar Negeri Perlis semalam.

Menurut YBrs. Dr. Madihah, pihak JPV Perlis akan melaksanakan pemantauan secara  berkala terhadap aktiviti penyembelihan yang dilaksanakan di lokasi yang dibenarkan.

“Tujuan pemantauan berkenaan adalah sebagai langkah bagi memastikan aktiviti penyembelihan korban dijalankan dengan lebih teratur dan bersih bagi mengelakkan penyakit bawaan daging sembelihan korban yang boleh mengancam keselamatan makanan serta kesihatan awam selain mengambil kira kebajikan haiwan semasa ibadah korban dilaksanakan,” tambah beliau.

Terdahulu DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan berangkat bagi menyantuni empat buah rumah asnaf termasuklah seorang mangsa kejadian ribut yang berlaku pada petang kelmarin.

DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra semasa berkenan berangkat meninjau rumah golongan asnaf yang rosak akibat ribut.

Baginda turut berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis bernilai RM1500 yang disampaikan oleh Pengarahnya, Yang Mulia Ku Chik Ku Mat Esa.

Selain itu, baginda turut menyampaikan sumbangan MAIPs bernilai RM700 setiap seorang kepada semua penerima beserta dengan barangan keperluan harian “Kit MAIPs Peduli” dan beras fidyah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.