Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBrussels – “Dalam usaha untuk memperkasa kepimpinan wanita secara global, antara perkara yang terpenting termasuklah mengadakan undang-undang yang menyokong kesaksamaan jantina”, jelas YBrs. Prof. Madya Dr. Ummu Atiyah Ahmad Zakuan sewaktu diberikan penghormatan membentangkan kajiannya bersempena dengan “High Level Dialogue – on Sustainable Development Through Gender-Responsive Policy Making” yang berlangsung di Kesatuan Eropah (EU), Parliament, Brussels.
Kajian yang dibentangkan dalam “Rountable Discussion on Women and Party Politics – Strenthening the Participation and Representation in Germany and Malaysia” turut dihadiri oleh delegasi Kesatuan Eropah dari pelbagai agensi di Berlin.
Beliau yang juga merupakan pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, pertemuan selama lebih seminggu ini turut membincangkan pelbagai topik penting, antaranya termasuklah jalinan strategik antara Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Eropah menerusi Pelan Strategik EU 2023 hingga 2027, kesaksamaan jantina dalam demokrasi, kepimpinan wanita dalam politik, belanjawan responsif jantina, wanita dalam korporat dan dasar luar.
Menurutnya lagi:
Pernyataan tentang dasar sebanyak 30 peratus kesaksamaan jantina perlu ditingkatkan menjadi satu dasar yang lengkap dan mempunyai pelan strategik seperti dasar yang lain. Jika dasar sebegini diwujudkan, maka contoh di dalam aspek kepimpinan politik, sistem kouta dapat diperkenalkan bagi mencapai matlamat tersebut.
Kouta juga pelbagai, kita boleh berbincang mengenai model yang boleh digunakan, contohnya dalam undang-undang pilihan raya di Indonesia dan Filipina, setiap parti mesti menyenaraikan senarai calon yang akan bertanding dan kebiasaannya sebanyak 30 peratus calon mereka ialah wanita.
Beliau turut menjelaskan bahawa sekiranya kedua-dua negara gagal menyenaraikan senarai calon yang akan bertanding, maka parti mereka tidak boleh bertanding. Hal ini menyebabkan kedua-dua negara ini menjadi negara yang mempunyai peratusan wanita yang tertinggi dalam parlimen di Asia Tenggara, manakala Malaysia pula berada di tangga kedua paling bawah.
Program “High Level Dialogue” memberikan tumpuan pada perkongsian pengalaman dan pertukaran strategi mengenai pembaharuan yang perlu dilakukan untuk membangunkan kesaksamaan jantina. Perbincangan ini juga melibatkan pelaksanaan pelan tindakan yang sepadan dan sesuai dengan konteks masing-masing.
Antara perkara yang dibincangkan adalah undang-undang mengenai belanjawan kewangan berasaskan keperluan dan peruntukan dalam belanjawan awam yang responsif jantina yang mampu mengenal pasti masalah yang paling asas berkaitan diskriminasi terhadap wanita mahupun lelaki.
Dengan melakukan analisis jantina dalam belanjawan ini contohnya, dapat memperkenalkan inisiatif untuk mengurangkan diskriminasi struktur, contohnya kepada wanita dalam pasaran buruh dan undang-undang buruh.
Hasil daripada pertemuan ini dapat meningkatkan jalinan kerjasama yang baik antara pihak yang terlibat di dalam usaha untuk meningkatkan kesaksamaan jantina.
Pihak EU sentiasa aktif dalam menyuarakan hasrat untuk turut sama berkongsi cabaran dan pengalaman dengan Malaysia kerana cabaran yang dihadapi oleh EU juga hampir sama dengan Malaysia, iaitu usaha untuk mencapai kesaksamaan jantina.
Cabaran yang paling besar adalah untuk memberikan kefahaman yang betul dan tepat mengenai maksud kesaksamaan jantina dan manfaatnya kepada kita.
Apabila tiada kefahaman atau kesediaan untuk memahami sesuatu perkara, maka akan memberikan tanggapan yang salah dan menyulitkan usaha pelbagai pihak, antaranya termasuklah kerajaan untuk memperbaiki keadaan seperti diskriminasi terhadap wanita dalam pelbagai sektor seperti pekerjaan, politik dan kepimpinan. Oleh itu, usaha tersebut perlu digiatkan untuk membolehkan representasi wanita dalam kepimpinan dapat direalisasikan.
Antara kaedah penyelesaian yang boleh dilaksanakan dalam kalangan penyelidik termasuklah melakukan kajian dan advokasi berkaitan dengan wanita dan kepimpinan yang berfokus pada sektor politik.
Menurutnya lagi, mereka telah pun mengadakan kerjasama dengan pihak media, iaitu Astro dengan menonjolkan wanita muda yang berkaliber dan aktif dalam bidang politik, untuk berkongsi cita-cita, aspirasi dan perancangan mereka di dalam slot terbitan astro yang berjudul “The Future is Female”.
Usaha ini bertujuan untuk memberikan platform awam kepada mereka secara lebih meluas dan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kebolehan wanita untuk menjadi pemimpin yang baik di dalam politik.
Adalah diharapkan agar rakyat dapat memainkan peranan dengan sebaik-baik mungkin untuk terus meningkatkan kualiti hidup dan seterusnya membawa negara ke tahap yang lebih baik dan cemerlang dalam pelbagai sektor.