Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan Sekarang“Sebuah kereta yang dipandu oleh pemandu mabuk hilang kawalan dan melanggar enam orang penunggang motosikal yang sedang berteduh daripada hujan di bawah jejambat. Lebih menyayat hati, tiga orang penunggang motosikal maut di tempat kejadian, manakala tiga orang lagi cedera”.
Itulah kisah yang dilaporkan oleh akhbar arus perdana baru-baru ini. Malang tidak berbau, itulah peribahasa yang tepat untuk kita gambarkan mengenai situasi tersebut. Akan tetapi, apakah pembelaan yang sewajarnya kepada mangsa? Penunggang motosikal berkenaan dikatakan seperti “mati katak” kerana niat mereka hanya ingin tumpang berteduh, namun maut yang menjemput angkara kelalaian pemandu mabuk.
Benar, kemalangan yang membawa kepada ajal dan maut merupakan rahsia Tuhan yang tidak diketahui oleh umat manusia. Perkara ini memang tidak diingini untuk berlaku dalam kehidupan, apatah lagi jika kita sentiasa berhati-hati dan peka dengan keadaan di sekeliling. Namun begitu, pelbagai faktor sekeliling juga menjadi antara penyebab kepada keadaan ini, iaitu kecuaian, keadaan jalan yang tidak elok, pemandu yang tidak bertanggungjawab dan lain-lain lagi.
Pada ketika ini, isu yang melibatkan kemalangan di jalan raya semakin merunsingkan kerana masyarakat sentiasa dikejutkan dengan berita mengenai kemalangan tanpa mengira umur, bangsa dan agama. Malah, hampir setiap hari di dada-dada akhbar dan juga di portal maya melaporkan mengenai perkara ini. Tajuk-tajuk berita yang menyayat hati dengan penulisan yang menyentuh perasaan membuka mata masyarakat untuk lebih peka terhadap isu ini kerana kadar pelaporannya meningkat saban hari, saban minggu dan bahkan sepanjang tahun.
Berdasarkan kajian oleh Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dari Januari hingga September 2022, rekod menunjukkan peningkatan sebanyak 52 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya. Mengikut statistik yang dikeluarkan, pengguna motosikal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 2916 atau 66.6 peratus; kereta (776); pejalan kaki (233); lori (139); van (95); kenderaan pacuan empat roda (94); basikal (79); kenderaan lain (29) dan bas (17).
Berdasarkan kes yang dinyatakan di atas, sikap pemandu kenderaan yang tidak bertanggungjawab menjadi punca utama. Memandu ketika bawah pengaruh alkohol atau lebih tepat dinyatakan sebagai “pemandu mabuk” merupakan sikap yang tidak boleh terus dibiarkan dalam masyarakat. Jika keadaan ini dibiarkan, maka akan semakin ramailah yang menjadi mangsa. Maka, oleh sebab itulah Islam telah jelas mengharamkan alkohol yang boleh membawa kepada kemudaratan yang besar. Bahkan ada peribahasa Melayu yang mengumpamakan pemabuk sebagai sesuatu yang negatif contohnya seperti “kaki botol” atau “kaki minum”. Bahkan perkataan mabuk itu sendiri membawa konotasi yang sangat negatif, iaitu perlakuan seseorang di bawah minda sedar.
Selain itu, sikap tidak sabar, angkuh dan pentingkan diri di jalan raya perlu dihindarkan kerana melibatkan nyawa orang lain. Sebagai contoh, tiadanya sikap sabar ini boleh mengundang kecelakaan kerana boleh bertindak di luar kesedaran dan ini sangat berbahaya terutamanya ketika di jalan raya. Hal ini juga berkaitan dengan kewarasan pengguna jalan raya. Oleh itu, tahap kewarasan mental dan tahap kawalan emosi pemandu yang stabil akan membantu pemanduan yang lebih selamat. Dalam hal ini, masalah kesihatan mental perlu diberi perhatian oleh masyarakat terutamanya pengguna jalan raya.
Hal ini demikian kerana pemanduan separa sedar akibat kemurungan, depresi dan tekanan akan lebih mendorong kepada berlakunya kemalangan jalan raya. Pengguna jalan raya perlu bertimbang rasa dan tidak tergopoh-gopoh dalam melakukan sesuatu tindakan yang boleh mengundang bahaya kepada orang lain. Justeru, setiap pengguna jalan raya perlu sedar akan peranan dan tanggungjawab masing-masing sama ada dia pejalan kaki, penunggang basikal, penunggang motosikal, pemandu kereta, pemandu bas atau pemandu lori. Sekiranya setiap daripada mereka memainkan peranan masing-masing dengan baik, maka kemalangan jalan raya dapat dihindari.
Apakah sikap yang ada pada diri anda di jalan raya? Tepuk dada, tanyalah diri (iman) sendiri. Jika gunakan akal, memandulah dalam keadaan yang baik, sebaliknya jika gunakan hati, maka bersedialah untuk ditangisi.