24 Julai 2023, 17:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kubang Kerian- Pelaksanaan program Cakna MADANI YAB Perdana Menteri Bersama-sama Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diadakan semalam bertujuan agar YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim boleh mendekati dan beramah mesra dengan warga pendidik di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang. Dalam program itu, beberapa orang guru muda telah diberi peluang untuk mengutarakan pendapat berhubung dengan kerjaya serta masa depan pendidikan negara.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa menyampaikan ucapan dalam sebuah majlis bersama-sama warga pendidik Pantai Timur.

Bagi menghargai jasa guru dan kakitangan awam, Perdana Menteri akan mengumumkan beberapa imbuhan tetap kepada penjawat awam dalam masa terdekat. Menurut beliau, “Pendekatan lama skim pelarasan gaji perlu dirombak dan dikaji semula. Oleh itu, kerajaan akan membuat pengumuman dan sedikit penyesuaian dalam tempoh seminggu dua lagi”, jelas beliau. Tambah beliau, ganjaran yang lebih munasabah dan adil akan diberi kepada penjawat awam berikutan tiada kenaikan gaji dalam tempoh yang agak lama.

Dalam program ini, Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.4 bilion pada tahun ini untuk menambah baik bangunan sekolah daif di seluruh negara yang bakal memberikan keselesaan khususnya kepada pelajar luar bandar. Peruntukan untuk menambah baik sekolah ini, melibatkan sekolah daif di Kelantan sebanyak RM185.37 juta, Terengganu dan Pahang yang masing-masing berjumlah RM78.93 juta dan RM64.15 juta. Sebanyak 50 000 unit komputer riba juga telah diluluskan awal tahun ini dan akan diagihkan pada bulan Oktober nanti.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam program Cakna MADANI  yang diadakan pada 23 Julai 2023 di Dewan Utama, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Program ini dihadiri lebih 1500 orang warga pendidik, termasuklah guru muda yang mewakili ketiga-tiga negeri tersebut.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.