28 Julai 2023, 10:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Konsep pembelajaran sepanjang hayat semakin mendapat tempat di hati pelbagai pihak yang terlibat dalam penyediaan, pengembangan dan pelaksanaan program pendidikan terutamanya dalam kalangan institusi pendidikan tinggi, sama ada awam mahupun swasta. Pembelajaran sepanjang hayat merupakan usaha berterusan, sukarela dan melibatkan inisiatif kendiri ke arah pemerolehan pengetahuan peribadi mahupun profesional.

Konsep ini mempunyai variasi makna yang tersendiri daripada pelbagai perspektif. Misalnya, bagi individu, peluang belajar sepanjang hayat mungkin membawa nilai kebolehpasaran dan integrasi sosial. Bagi organisasi pula, pembelajaran tersebut bermakna daya saing dan hasil yang lumayan. Manakala bagi masyarakat, pembelajaran sebegini menghasilkan warganegara yang aktif serta berpengetahuan sains dan teknologi baru.

Dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pembelajaran sepanjang hayat, institusi pengajian tinggi menghadapi pelbagai cabaran getir. Tambahan pula kini, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mula menggalakkan semua universiti agar berperanan aktif mewujudkan akses kepada pelajar yang lebih dewasa ke arah pendemokrasian pendidikan secara global. Oleh itu, setiap institusi pengajian tinggi wajar mengambil langkah-langkah efektif bagi menyediakan program pembelajaran dalam merealisasikan sokongan dan fungsi mereka terhadap pembelajaran sepanjang hayat.

Secara amnya, kebanyakan institusi pengajian tinggi telah berkolaborasi dan berkongsi tanggungjawab pembelajaran sepanjang hayat dengan melibatkan organisasi swasta. Mereka mula menawarkan pendidikan yang relevan dan terkini untuk individu pelajar yang mempunyai pengalaman kerja tetapi masih memerlukan pengukuhan ilmu dari aspek teori dan praktikal. Sebagai contoh, secara berperingkat, universiti berupaya berfungsi sebagai rakan pendidikan strategik melalui pembentukan kurikulum moden untuk pembelajaran sepanjang hayat. Malahan minat yang semakin meningkat dalam pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan syarikat dan individu yang terlibat dengan sektor industri adalah selari dengan kemajuan teknologi digital yang pesat.

Bukan itu sahaja, dalam era revolusi perindustrian 4.0 (IR 4.0) ini, keperluan pengetahuan menjadi semakin signifikan dan kritikal bagi syarikat-syarikat dan industri agar kekal relevan dan kompetitif dalam pasaran kerja. Kemahiran yang diperoleh daripada pembelajaran sepanjang hayat menjadikan mereka berdaya saing menghadapi perubahan teknologi dan globalisasi. Implikasinya, keperluan strategik bagi institusi pengajian tinggi dalam meluaskan akses pembelajaran sepanjang hayat menjadi misi yang kritikal.

Antara aspek cabaran pembelajaran sepanjang hayat yang dihadapi oleh institusi pengajian tinggi dan cadangan prinsip reka bentuk sebagai solusi yang yang wajar dipertimbangkan termasuklah seperti berikut:

(a) Fleksibiliti

Reka bentuk kurikulum haruslah fleksibel untuk membolehkan individu daripada pelbagai latar belakang dan tahap kehidupan mengakses dan mengambil bahagian dalam pembelajaran sebegini. Kurikulum yang dibentuk harus menawarkan pelbagai laluan dan pilihan kursus, mod pembelajaran dan jadual yang sesuai untuk pelajar dewasa yang mungkin mempunyai kekangan akibat tanggungjawab pekerjaan, keluarga atau komitmen lain. Oleh itu, reka bentuk kurikulum perlu disesuaikan dengan keperluan mereka melalui penyediaan jadual pembelajaran yang fleksibel.

Pilihan kursus dalam pelbagai mod pembelajaran juga wajar disediakan, termasuk pembelajaran secaa dalam talian, kelas malam dan hujung minggu serta kursus separuh masa. Selain itu, pengiktirafan kredit untuk pengalaman pembelajaran sebelumnya juga harus diperkenalkan. Hal ini demikian kerana pelajar dewasa yang telah memperoleh pengetahuan dan kemahiran melalui pengalaman kerja, latihan atau pembelajaran di luar kampus perlu diiktiraf dan diberi kredit yang sesuai dalam program pembelajaran sepanjang hayat.

 

(b) Pengiktirafan Kredit

Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu atau dikenali sebagai Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) merujuk kepada proses di mana individu dapat memperoleh pengiktirafan formal atas pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh daripada pengalaman kerja, Latihan atau aktiviti lain di luar pendidikan formal. Proses ini memungkinkan individu untuk mendapatkan kredit akademik atau pengiktirafan yang setara dengan pendidikan formal berdasarkan bukti-bukti yang relevan daripada pengalaman mereka.

APEL memungkinkan penilaian yang komprehensif dan adil terhadap kemampuan dan pencapaian individu tanpa harus mengulang pembelajaran yang telah dikuasai sebelumnya. Perkara ini memberikan peluang yang lebih luas kepada para profesional dan calon pelajar dewasa untuk memajukan kerjaya atau melanjutkan pendidikan mereka dengan memanfaatkan pengetahuan dan keterampilan yang mereka peroleh melalui pengalaman hidup dan pekerjaan mereka. Proses APEL biasanya melibatkan penilaian yang komprehensif, termasuk portofolio bukti, penilaian berstruktur dan wawancara, yang dilakukan oleh pihak yang berkelayakan.

Impaknya, usaha ini membolehkan individu berkenaan meminimakan jumlah waktu dan usaha yang diperlukan untuk menyelesaikan program pembelajaran sepanjang hayat. Individu yang telah menghadiri kursus atau latihan di luar kampus juga boleh memohon untuk mendapatkan Pengiktirafan Kredit bagi kursus atau latihan berkaitan. Hal ini membolehkan mereka untuk menggabungkan pengetahuan dan kemahiran yang telah mereka perolehi dengan program pembelajaran sepanjang hayat yang sedang diikuti. Dengan Pengiktirafan Kredit, individu boleh diiktiraf sebagai telah lulus modul atau subjek yang telah mereka pelajari sebelumnya. Justeru itu, mereka dapat menjimatkan masa, tenaga dan kos penyelesaian program pembelajaran sepanjang hayat dan mendapat kelulusan dengan lebih cepat berbanding pelajar konvensional (biasa) yang lain.

Pengiktirafan perlu dipertimbangkan berdasarkan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh daripada pengalaman kerja.

(c) Pemindahan Ilmu dan Kecekapan

Reka bentuk kurikulum perlu memberikan tumpuan kepada pemindahan ilmu dan kecekapan yang relevan dan berguna untuk kehidupan kerjaya dan pembangunan masyarakat. Usaha tersebut perlu melibatkan pengintegrasian kemahiran abad ke-21, teknologi digital dan kecekapan bersepadu yang sesuai dengan permintaan semasa dalam industri dan masyarakat.

Setelah menyertai program pembelajaran sepanjang hayat, individu akan lebih berkemahiran untuk mengaplikasi pengetahuan tersebut dalam kehidupan sebenar. Mereka menggunakan pengetahuan dalam konteks sebenar untuk menyelesaikan permasalahan, membuat keputusan dan mengendalikan urusan seharian secara efektif. Begitu juga dalam sesetengah program pembelajaran sepanjang hayat, individu akan terlibat dalam latihan praktikal, simulasi atau projek yang melibatkan situasi sebenar dalam bidang tertentu. Hasilnya, pelajar berkenaan berpeluang untuk berlatih meningkatkan kemahiran dan mengaplikasinya dalam konteks yang realistik semasa menyiapkan tugasan yang diamanahkan dengan mudah.

Pemindahan ilmu dan kecekapan juga berlaku melalui pembelajaran kolaboratif dengan berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan orang lain. Dalam sesi perbincangan, perkongsian idea dan kerjasama dalam tugasan, individu dapat menambah baik pengetahuan dan kemahiran mereka.

 

(d) Impak Pembelajaran yang Berpanjangan

Cabaran ini melibatkan penyesuaian kurikulum bagi memastikan bahawa pembelajaran berterusan dan relevan berlaku pada sepanjang hayat individu yang terlibat. Perkara ini bukan sekadar berfokus pada pembelajaran dalam tempoh di university tetapi juga terhadap cara pembelajaran seseorang terus berkesinambungan dalam kehidupan seharian walaupun setelah tamat pengajiannya.

Cabaran ini melibatkan pendekatan pembelajaran personal yang membolehkan pelajar dewasa memilih kursus dan mod pembelajaran yang paling sesuai dengan kehendak dan keperluan mereka. Pengiktirafan Kredit membuka pintu kepada individu yang tidak mempunyai kelayakan formal untuk mengakses program pembelajaran sepanjang hayat melalui pengalaman dan kemahiran yang dimiliki sebelumnya. Oleh itu, reka bentuk kurikulum di institusi pengajian tinggi perlu menyediakan pilihan dan pakar rujuk pembelajaran yang membolehkan pelajar terus berkembang ilmu dan kemahirannya tanpa dibataskan oleh kadar keupayaan dan gaya pembelajaran masing-masing.

 

(e) Integrasi Teknologi

Intitusi pengajian tinggi terpaksa berdepan dengan satu cabaran baru yang sukar, iaitu pengendalian pengurusan teknologi digital baharu yang pesat berhubung dengan prosedur birokrasi di universiti. Kesannya, program pembelajaran sepanjang hayat yang moden, seperti program teknologi digital, kebanyakannya memerlukan masa yang lama untuk dilaksanakan secara komprehensif. Hal ini bermakna bahawa program pendidikan berkenaan mungkin sudah lapuk sebelum benar-benar berjaya ditawarkan kepada para pelajar.

Dari aspek lain, pematuhan prosedur birokrasi adalah penting dalam memastikan bahawa proses undang-undang dan dokumen-dokumen berkaitan dengan peraturan dikendalikan secara komprehensif. Realitinya, terdapat konflik antara penawaran program pendidikan yang terkini dengan keperluan mematuhi prosedur birokrasi secara sepenuhnya. Walau bagaimanapun, keutamaan harus diletakkan kepada reka bentuk kurikulum yang berasaskan teknologi dalam memperkukuhkan pengalaman pembelajaran yang ditawarkan kepada peserta.

Antaranya melalui penggunaan teknologi digital, platform pembelajaran secara dalam talian dan wahana pembelajaran interaktif yang mampu memberikan akses kepada sumber pembelajaran tambahan. Konsep pembelajaran kontemporari seperti inovasi yang menekankan kepada kepentingan data, kecerdasan buatan, pembelajaran berteknologi dan pintar juga harus diangkat sebagai komponen utama dalam memperkukuhkan pembelajaran sepanjang hayat.

 

(f) Kolaborasi Industri dan Komuniti

Reka bentuk kurikulum haruslah melibatkan kolaborasi dengan industri dan komuniti untuk memastikan kerelevanan bagi usaha memartabatkan pembelajaran sepanjang hayat. Penyertaan pihak luar seperti majikan dan staf professional dalam industri juga penting untuk mengenal pasti keperluan kompetensi dan kemahiran yang menjadi keperluan dalam masyarakat setempat. Bukan itu sahaja, untuk mencapai fleksibiliti dan kualiti yang diharapkan, setiap universiti perlu berkolaborasi dengan majikan dan agensi luar termasuk pengendali industri untuk memahami keperluan dan cabaran pelajar dewasa dalam pembelajaran sepanjang hayat.

Kolaborasi ini membantu universiti menyusun atur dan menawarkan pakej program yang signifikan dan fleksibel dengan mengambil kira perkembangan industri dan teknologi semasa. Dalam jangka masa panjang, kolaborasi tersebut akan merealisasikan kewujudan ekosistem yang saling menyokong dan menyumbang kepada pembangunan pengetahuan dan kemajuan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

 

(g) Penilaian Pembelajaran Berterusan

Dalam pembelajaran sepanjang hayat, terdapat kekangan dalam mengukur kemajuan jangka masa panjang yang konsisten sepanjang waktu serta masalah keadilan dan kesetaraan. Hal ini bermakna hanya beberapa individu sahaja yang berjaya memiliki akses pembelajaran yang lebih berbanding dengan pelajar yang lain. Maka itu, pendekatan penilaian yang lebih holistik dan komprehensif diperlukan. Misalnya, dalam menilai pencapaian individu, pensyarah harus menilai pencapaian pembelajaran pelajar secara berterusan serta mengesan perkembangan mereka dalam memahami dan menguasai kandungan pembelajaran. Penilaian seperti ini membantu pensyarah mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pelajar dan memberi mereka maklum balas yang diperlukan untuk meningkatkan prestasi mereka.

Selain itu, keterlibatan aktif pelajar harus diberikan perhatian serius bagi memastikan pensyarah menilai setiap aspek keterlibatan pelajar dalam aktiviti pembelajaran, termasuk tugasan, projek, atau penyertaan dalam perbincangan. Penilaian sebegini akan membantu pelajar mengenal pasti aspek kelemahan yang memerlukan lebih banyak usaha dan tindakan pembetulan segera. Aktiviti pembelajaran yang lebih praktikal juga akan memotivasikan pelajar agar berdikari untuk menyumbang terhadap kejayaan tugasan, projek, dan persembahan setelah menerima maklum balas secara berterusan daripada pensyarah.

 

(h) Pendekatan yang Inklusif dan adil

Cabaran lain ialah reka bentuk kurikulum haruslah memastikan peluang pembelajaran sepanjang hayat dapat diakses secara meyeluruh dan adil oleh semua individu tanpa mengira latar belakang, umur atau kebolehan. Hal ini bererti, semua individu, termasuk orang kurang upaya, orang berkeperluan khas dan golongan yang terpinggir, wajar diberikan peluang untuk mengakses dan mengambil bahagian dalam program pembelajaran.

Usaha berkenaan juga perlu melibatkan pembangunan persekitaran pembelajaran yang memahami kepelbagaian dan keperluan pelbagai peserta. Antaranya termasuklah menyediakan akses bagi peserta kurang upaya melalui teknologi pembelajaran yang mesra pengguna dan menyediakan sokongan tambahan bagi peserta yang berkeperluan khas untuk memastikan kejayaan mereka dalam pembelajaran.

Keadilan dalam pembelajaran sepanjang hayat pula bermakna kesamaan peluang dan akses kepada semua individu tanpa prejudis atau diskriminasi. Sebagai contohnya, penyediaan platform yang sama bagi setiap individu untuk mengakses program pembelajaran, tanpa membezakan latar belakang sosial, ekonomi, atau budaya. Selain itu, pembangunan mekanisme penilaian dan pemantauan yang objektif dan adil juga diutamakan dalam memastikan semua individu dinilai berdasarkan kemampuan dan usaha mereka dan bukannya faktor-faktor luaran.

Secara ringkasnya, konteks pembelajaran sepanjang hayat sebegini akan mengekalkan kepelbagaian dan peluang kepada semua individu untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan potensi yang seluas mungkin untuk semua individu. Aspek ini dapat membantu menyokong pembangunan masyarakat yang lebih berintegriti dan adil, di mana setiap individu dapat menyumbang dan mendapatkan manfaat daripada proses pembelajaran.

Tuntasnya, konsep pembelajaran sepanjang hayat menarik minat pelbagai pihak dan melibatkan usaha berterusan, sukarela dan dengan insiatif sendiri dalam memperoleh pengetahuan bagi tujuan peribadi atau profesional. Pembelajaran sepanjang hayat mampu merealisasikan misi IR 4.0 dengan mempersiapkan pekerja dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan, menggalakkan inovasi, teknologi digital dan kecekapan dalam industry selain meningkatkan daya saing dan ketersesuaian untuk memenuhi tuntutan perindustrian yang semakin canggih dan berubah dengan cepat.

Namun begitu, institusi pengajian tinggi menghadapi pelbagai cabaran berat dalam usaha merealisasikan program pembelajaran berimpak seperti ketiadaan kurikulum yang fleksibel, kurang penekanan untuk mengiktiraf kredit dan kemahiran terdahulu yang dimiliki oleh peserta dan konsistensi untuk memastikan pembelajaran berlaku secara berterusan dan relevan.

Oleh sebab itu, dalam mengatasi cabaran berkenaan, setiap institusi pengajian tinggi, sama ada awam mahupun swasta, perlu menerapkan pendekatan inklusif dengan melibatkan kolaborasi dengan pelbagai pihak, tidak terkecuali industri dan komuniti, serta mengeksplotasi teknologi ke arah misi memperkukuhkan pengalaman pembelajaran seumur hidup peserta. Penilaian pembelajaran berterusan turut memainkan peranan penting dalam mengukur pencapaian individu, tanpa mengabaikan aspek keadilan dalam akses peluang pembelajaran sepanjang hayat bagi semua individu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.