28 Julai 2023, 20:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bahawa generasi muda pada hari ini perlu diberi panduan untuk mengatasi cabaran besar dalam mengharungi dunia teknologi moden yang menyajikan pelbagai kandungan dan bahan grafik tanpa batasan dan tapisan.

Oleh itu, program seumpama Pesta Buku Kanak-kanak Selangor yang dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) mendapat sokongan kerajaan negeri dalam usaha mengalih minat kanak-kanak yang merupakan pemacu masa hadapan untuk mendapatkan maklumat melalui bahan bacaan yang terpelihara dan selamat.

“Itulah antara perubahan yang dilakukan di Selangor untuk menganjak paradigma masyarakat melalui sebuah elemen yang kecil tetapi memberikan impak yang besar, iaitu perpustakaan,” ujar beliau yang juga merupakan Pengerusi PPAS dalam ucapannya semasa Majlis Perasmian Pesta Buku Kanak-kanak Selangor, pada hari ini.

Pesta Buku Kanak-kanak Selangor yang diadakan buat julung kalinya ini berlangsung selama empat hari, iaitu bermula pada 27 Julai hingga 30 Julai 2023 dan diadakan di Kompleks PKNS, Shah Alam, Selangor.

YAB Dato’ Seri Amirudin Shari membuat lawatan dan beramah mesra dengan para pempamer di Pesta Buku Kanak-kanak Selangor.

Selain pameran jualan buku dan program kesenian kanak-kanak, Pesta Buku Kanak-kanak Selangor juga mengangkat kedudukan ilustrator buku kanak-kanak dengan mengadakan sesi temu mesra bersama-sama kartunis dan ilustrator berpengalaman yang berbeza pada setiap hari seperti Imuda, Nor Azhar Ishak, Wee Dee Tan dan Mohd Khairul Azman Ismail.

Dalam majlis perasmian tersebut, kerajaan negeri Selangor, melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) turut menyampaikan Penghargaan Karya Seni Ilustrasi Yusuf Gajah sebanyak RM10 ribu kepada Puan Zakiah Mohd Isa atau Mama Gajah, iaitu isteri kepada Allahyarham Yusof Gajah.

Penyampaian Penghargaan Karya Seni Ilustrasi Yusof Gajah oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari kepada Puan Zakiah Mohd Isa.

Penghargaan itu diberikan sebagai tanda penghormatan kerajaan negeri atas bakat dan jasa yang dicurahkan oleh Allahyarham Yusof Gajah atau nama sebenarnya Mohd Yusof Ismail dalam dunia ilustrasi kanak-kanak di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

Dalam majlis yang sama, Duta Jepun ke Malaysia, TYT Takahashi Katsuhiko hadir untuk menyampaikan sumbangan sebanyak 98 buah buku berkaitan dengan Jepun kepada Perpustakaan Raja Tun Uda di bawah Program “Read Japan” oleh Nippon Foundation.

Ciapan Duta Jepun ke Malaysia, TYT Takahashi Katsuhiko di akaun laman sosial Twitter milik beliau.

Tetamu kehormat lain yang hadir bersama-sama ialah Ahli Dewan Diraja Negeri Selangor merangkap Ahli Lembaga Pengarah PPAS, Dato’ Haji Emran Haji Kadir; Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Tuan Hj Mohd Khair Ngadiron; Pengarah PPAS, Datin Paduka Mastura Haji Muhammad; dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita & Keluarga, Puan Dr. Siti Mariah Mahmud.

Turut hadir menyerikan majlis ialah Sasterawan Negara ke-12, Dato’ Baharuddin Zainal dan Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Puan Fauzilahyatun Mustafa.

YAB Dato’ Seri Amirudin Shari dan barisan tetamu kehormat bersama-sama para hadirin semasa Majlis Pelancaran Pesta Buku Kanak-kanak Selangor di Kompleks PKNS, Shah Alam, Selangor.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.