Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJeneri –Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN-15) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah telah pun bermula pada hari ini apabila kesemua calon yang dinamakan oleh parti masing-masing sah bertanding, sebentar tadi.
Di utara tanah air, Datuk Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor wakil Perikatan Nasional (PN) akan dicabar satu lawan satu dengan calon gabungan parti pemerintah Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PHBN), iaitu Dato’ Muhamad Khizri Abu Kassim, Ketua UMNO Bahagian Sik.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Calon Parti Islam Se Malaysia (PAS) Datuk Seri Haji Sanusi memenangi kerusi DUN Jeneri apabila berjaya menewaskan lawannya dengan majoriti 2455 undi dalam saingan tiga penjuru.

Menjelang PRN kali ini, beliau yang dihambat dengan pelbagai kontroversi menjadikan DUN Jeneri sebagai satu daripada kerusi tumpuan, apatah lagi dengan status beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan penyandang kerusi tersebut.
Sebanyak 36 kerusi DUN Negeri Kedah akan dipertandingkan pada PRN kali ini. Mengikut statistik pemilih mengikut jantina yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan sebanyak 1 585 085 pengundi akan memilih dengan 780 743 pemilih daripada jantina lelaki dan 804 342 pengundi perempuan.

SPR telah menetapkan tarikh penamaan calon pada hari ini, 29 Julai 2023 (Sabtu), manakala undi awal pada 8 Ogos 2023 (Selasa) dan hari membuang undi pada 12 Ogos 2023 (Sabtu).
