Diterbitkan pada 13 Ogos 2023, 03:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – Dua mantan pemain bola sepak negara, Baddrol Baktiar dan Radhi Mat Din yang mewakili Perikatan Nasional (PN) telah berjaya memenangi  kawasan yang ditandingi mereka dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15 (PRN-15) pada malam tadi.

Percubaan kali pertama Baddrol dalam arena politik membuahkan hasil apabila beliau mengalahkan Firdaus Johari daripada Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti sebanyak 6584 undi di DUN N22 Gurun.

Sebelum terjun dalam bidang politik, beliau yang merupakan tonggak hadapan pasukan Sabah FC dan pernah menyarung jersi pasukan Kedah Darul Aman (KDA), sentiasa mengharumkan nama pasukan yang diwakilinya dengan persembahan permainan yang memukau.

Oleh itu, kemenangan dalam PRN-15 ini  sudah tentu menjadi perhatian rakyat dalam menyuarakan aspirasi dan sumbangan beliau terutamanya dalam bidang sukan di negeri Kedah.

Sementara itu, Radhi Mat Din, legenda bola sepak pasukan KDA pula mengalahkan calon ternama serta penyandang kerusi tersebut, iaitu Dato’ Wira Mahfuz Omar dengan majoriti sebanyak 10 104 undi.

Setelah kecundang pada PRU-14 yang lepas, beliau kembali bangkit menewaskan pesaingnya di DUN N14 Alor Mengkudu. DUN tersebut mempunyai 38 193 pemilih berdaftar dan beliau memperoleh sebanyak 18 936 undi dan lawannya hanya mendapat sebanyak 8832 undi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi