Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 Negeri Selangor (PRN Selangor) kian terasa bahang dan geloranya. Selain negeri Kedah, Selangor merupakan antara negeri yang hangat dibicarakan.
Mana-mana gabungan yang terlibat dalam PRN Selangor, sama ada PH-BN ataupun Perikatan Nasional, melihat potensi ekonomi dan pelaburan yang terdapat di negeri ini. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Selangor merupakan penyumbang Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang tertinggi pada tahun 2022, iaitu sebanyak 25.5 peratus. Jumlah tersebut meningkat sebanyak 0.7 berbanding 24.8 peratus pada tahun 2021.
Pencapaian tersebut merupakan sumbangan KDNK yang tertinggi dalam tempoh 14 tahun. Maka, tidak hairanlah Selangor diberi jolokan “The Crown Jewel of Malaysia” dan sudah tentu masing-masing gabungan ingin memiliki “golden state” ini.
Suasana kempen PRN Selangor kini kian rancak apabila gabungan PH-BN melancarkan manifesto “Tawaran Kita Selangor”. Pengerusi Harapan Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melancarkan manifesto tersebut di Dewan Raja Muda, Shah Alam. Dengan temanya “Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Selangor”, terdapat lima pengkhususan yang difokuskan untuk meraih undi rakyat.
Antara lima fokus tersebut ialah:
Manakala bagi Perikatan Nasional (PN), manifesto yang bertemakan “Selangor Baharu, Kita Bangkit” juga mempunyai daya tarikan yang tersendiri buat pengundi Selangor.
Antara tawaran yang diberikan oleh PN ialah bantuan bulanan RM400 untuk pembelian barangan asas dan insentif sebanyak RM500 kepada ibu bersalin.
Hasil tinjauan pasukan JendelaDBP saat-saat akhir berkempen sebelum hari pengundian mendapati bahawa rata-rata pengundi masih memikirkan manifesto gabungan manakah yang menjadi pilihan mereka.
Salah seorang pengundi di Selangor (yang hanya mahu dikenali sebagai Firdaus) ketika ditemu bual oleh pasukan JendelaDBP mengatakan bahawa kedua-dua manifesto gabungan tersebut menarik. Katanya,
Apabila saya tengok dua manifesto gabungan tu, saya pun agak sukar nak pilih siapa. Saya ini boleh dikatakan pengundi atas pagar la sebab saya tak tengok parti. Saya selalu tengok apa tawaran mereka kat saya.
Seorang lagi pengundi atas pagar yang juga hanya mahu dikenali sebagai Nur juga memberitahu perkara yang sama. Ujarnya,
Bagi saya, kedua-dua parti ada kelebihan. Selangor ni negeri maju. Saya rasa kalau pilih siapa-siapa pun mesti janji-janji manis dalam manifesto tu tertunai sebab Selangor memang banyak duit.
Begitulah reaksi rata-rata pengundi atas pagar di Selangor. Namun, apa-apa pun kata mereka, hanya satu gabungan yang akhirnya akan mentadbir negeri Selangor. Segalanya akan terjawab pada 12 haribulan nanti.