Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFoto: Rasul Manan
Mergong – Suasana pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Mergong berjalan dengan lancar dan harmoni apabila para petugas yang terlibat menjalankan tugas dengan sebaik-baik yang mungkin.
Seawal pukul 8.00 pagi, orang ramai sudah mula beratur untuk menunaikan tanggungjawab membuang undi bagi memilih wakil rakyat yang akan mewakili kawasan mereka, iaitu di DUN N12 Suka Menanti.

Pada mulanya hujan turun di kawasan ini, namun keadaan tersebut tidak mematahkan semangat pengundi yang hadir ke pusat mengundi. Mereka ke khemah semakan daftar pemilih agar dapat memastikan nama dan alamat betul seperti yang tertera dalam sistem pemilih.

Terdapat juga pengundi warga emas yang memerlukan bantuan dan para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak lokek tenaga apabila dengan pantas menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Begitu juga dengan petugas lain yang menjaga setiap saluran dengan penuh dedikasi bertugas apabila setiap pertanyaan dijawab dan dibantu serta menunjukkan saluran undian para pemilih dengan tepat.

Lebih 9.67 juta pemilih berdaftar dijangka keluar mengundi pada PRN di enam negeri hari ini yang melibatkan persaingan 36 kerusi DUN di Kedah, Selangor (56), Negeri Sembilan (36), Terengganu (32), Pulau Pinang (40) dan 45 DUN di Kelantan. Pusat mengundi akan ditutup pada pukul 5.00 petang.