Diterbitkan pada 11 Ogos 2023, 16:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – Demi memastikan kelancaran pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15 (PRN-15) Kedah, tinjauan telah dilakukan di Maktab Mahmud, Jalan Pegawai yang menempatkan tiga buah DUN, iaitu N12 Suka Menanti, N13 Kota Darul Aman dan N14 Alor Mengkudu.

Para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Kedah bertungkus-lumus membuat persiapan akhir dengan membuat semakan kertas undi, isi peti undi dan peralatan yang akan digunakan esok.

Petugas SPR sedang menyemak peralatan mengundi bagi memastikan peralatan tersebut berada dalam keadaan baik untuk kegunaan pada hari pengundian kelak.

Persiapan ini dilakukan agar petugas yang terlibat dapat mengesahkan peralatan berada dalam keadaan baik dan menyelaraskan kerjasama dengan pihak yang terlibat seperti polis dan sebagainya agar hari pengundian esok berlangsung dalam keadaan yang tersusun dan harmoni.

Setelah siap disemak, isi peti undi akan diletakkan di tempat selamat.

Terdahulu, Kedah mencatatkan peratusan keluar mengundi yang tertinggi bagi undian awal, iaitu sebanyak 96 peratus, diikuti oleh Selangor sebanyak 95.87 peratus, Terengganu sebanyak 95.91 peratus, Pulau Pinang sebanyak 95.01 peratus, Negeri Sembilan sebanyak 94.05 peratus dan Kelantan sebanyak 93.90 peratus.

Bagi pilihan raya kali ini, sebanyak 3190 pusat mengundi dan 17 048 saluran mengundi dibuka untuk tujuan pengundian. Petugas SPR yang ditemui turut memaklumkan bahawa sebanyak 153 760 orang petugas akan bertugas bagi melancarkan proses pengundian di seluruh pusat pengundian esok.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi