12 Ogos 2023, 14:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gombak – Salah satu tempat mengundi bagi DUN Gombak Setia, iaitu di SK Seri Gombak 2 dilihat berjalan dengan lancar walaupun hujan turun agak lebat hampir satu jam.

Calon bagi gabungan PH-BN DUN Gombak Setia, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin kelihatan mengundi di SK Seri Gombak 2 lebih kurang pada pukul 12.00 tengah hari tadi. Ujarnya kepada media selepas membuang undi,

Alhamdulliah, proses pengundian berjalan dengan baik walaupun hujan. Saya harap jumlah orang keluar mengundi akan bertambah dari semasa ke semasa.

Calon bagi gabungan PH-BN DUN Gombak Setia, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin, mengundi di SK Seri Gombak 2 pada pukul 12.00 tengah hari tadi.

Selanjutnya, ketika ditanya tentang peluang beliau untuk memenangi DUN Gombak Setia, beliau menyatakan,

Saya dapat merasakan ada ‘positive vibe’ sebab saya pun ada pengalaman bertanding. Kita tunggulah sehingga peti undi dibuka. Rata-rata rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil yang boleh membawa kemakmuran kepada negara.

Selain itu, pasukan media JendelaDBP turut berkesempatan menemu bual beberapa orang pengundi di situ.

Kanthavelu, 69 tahun, berharap agar calon yang menang dapat membantu masyarakat.

Kanthavelu, 69 tahun yang merupakan pesara menyatakan harapan beliau agar calon yang memenangi DUN Gombak Setia dapat menunaikan janji mereka ketika berkempen dan sekiranya terpilih calon tersebut akan membantu rakyat mendapatkan peluang pekerjaan demi kelangsungan hidup. Dalam konteks pemilihan calon, beliau lebih mengutamakan manifesto berbanding dengan calon.

Afiq, 27 tahun, mengutamakan calon berbanding dengan parti ketika membuat pilihan mengundi.

Afiq, 27 tahun, salah seorang pengundi yang pertama kali mengundi di situ juga menyatakan harapan yang sama. Jelasnya,

Saya baru kali pertama mengundi. Saya tengok calon, tak tengok parti. Kalau di Gombak ni, saya nak tengok lepas ni calon yang menang tu cepat selesaikan masalah. Saya orang sini dan saya nak tengok calon yang menang lepas ni kerap la tengok kawasan dan turun padang. Kerap turun padang tu juga merupakan faktor untuk saya undi calon yang saya pilih.

Ahmad, 55 tahun, memilih parti ketika mengundi berbanding dengan calon.

Salah seorang pengundi lain, iaitu Ahmad, 55 tahun, yang juga merupakan seorang peniaga, melihat perkara yang berbeza apabila ditanya tentang faktor penentuan undinya.

Dalam politik ni, kita nak jaga lima perkara, agama, nyawa, harta benda, akal dan keturunan. Kalau siapa pun perintah, kena jaga lima perkara ini. Mengundi ni bukannya atas calon atau individu. Kita mesti lihat parti juga. Kalau macam saya, saya lihat dasar parti itu sendiri.

Setakat berita ini ditulis, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratus pengundian keluar mengundi bagi PRN Selangor adalah sebanyak 44 peratus. 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.