29 Julai 2023, 17:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Negeri Sembilan – Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 Negeri Sembilan atau PRN Negeri Sembilan menampilkan pertarungan pelbagai pahlawan politik, sama ada yang muda atau tua, muka baharu atau muka lama, untuk merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Pertarungan di PRN Negeri Sembilan ini pastinya tertumpu pada Menteri Besar Negeri Sembilan, iaitu Aminuddin Harun (Pakatan Harapan) yang sebelum ini menang dengan majoriti lebih daripada 3000 undi yang akan mempertahankan kerusinya setelah dicabar oleh Raihan Hilal (Perikatan Nasional), serta Bujang Abu dan Mohammed Hafiz, yang masing-masingnya merupakan calon bebas.

Gelanggang yang akan menjawab persoalan, sama ada keputusan Barisan Nasional menyertai kerajaan Perpaduan itu suatu yang diterima oleh akar umbi atau tidak semestinya terarah pada pertarungan Timbalan Presiden UMNO, iaitu Mohamad Hasan.

Mohamad Hasan yang memenangi hampir 20 ribu undi majoriti bagi kerusi Parlimen P.131 Rembau pada PRU-15 yang lalu ini akan membuktikan bahawa majoriti daripada 32 890 pengundi berdaftar di kawasan yang ditandingnya, iaitu N.27 Rantau masih setia memberikan sokongan padu kepada beliau walaupun bakal ditentang oleh Rozmal Malakan (Perikatan Nasional) secara satu lawan satu.

Kemunculan ahli keluarga dalam pertarungan politik sebagai simbol legasi dan maruah pula bukanlah suatu yang asing dalam dunia politik, dan PRN Negeri Sembilan tidak terlepas daripada menyasikan pertarungan sebegitu.

Mohd Najib Mohd Isa yang merupakan anak mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad akan bertarung satu lawan satu dengan calon daripada Perikatan Nasional, iaitu Abdul Fatah Zakaria yang merupakan Yang Dipertua PAS Port Dickson bagi kerusi N.31 Bagan Pinang.

Seterusnya, isteri Tan Sri Mohd Isa Samad, iaitu Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid yang juga merupakan Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan akan menjadi srikandi yang turun berjuang di PRN Negeri Sembilan pada kali ini untuk berlawan dengan Eddin Syalee Shith (Perikatan Nasional) yang merupakan mantan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia bagi merebut kerusi N.15 Juasseh.

Sebagai rekod, 36 kerusi DUN di PRN Negeri Sembilan pada PRU-14 pada tahun 2018 lalu hanya dimenangi oleh dua parti utama, iaitu Parti Keadilan Rakyat dan Barisan Nasional dengan jumlah 20 dan 16 kerusi masing-masing.

Pada kali ini, dengan kehadiran pengundi muda dan perubahan iklim politik tanah air, pertarungan di Negeri Sembilan ini akan menjadi suatu yang menarik untuk disaksikan dan menjadi penanda aras bagi keputusan PRU-16 akan datang.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.