Diterbitkan pada 8 Ogos 2023, 12:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Kuala Lumpur– Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan pengundi yang keluar mengundi undi awal dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRN-15) sehingga pukul 12.00 tengah hari untuk negeri Kedah adalah sebanyak 61 peratus, diikuti oleh Kelantan 63 peratus, Terengganu 59 peratus, Pulau Pinang  59 peratus, Selangor 55 peratus dan Negeri Sembilan 60 peratus.

Manakala untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi P.036 Kuala Terengganu yang diadakan berikutan keputusan mahkamah membatalkan kemenangan calon PAS, Ahmad Amzad Hashim pada PRU-15 akibat salah laku rasuah setakat ini pula menyaksikan pembuangan undi sebanyak 53 peratus.

Sebanyak 97 388 anggota tentera dan polis serta pasangan akan membuang undi awal dalam PRN kali ini. Begitu juga dengan PRK P.036 Kuala Terengganu, iaitu sebanyak 1397 anggota polis dan tentera bersama-sama pasangan telah mengundi awal.

Statistik SPR berkenaan anggota tentera dan polis yang membuang undi awal pada PRN kali ini.

Sebanyak 260 pusat mengundi awal yang mengandungi 377 tempat mengundi atau saluran awal sempena PRN di enam negeri, dibuka bermula 8.00 pagi ini. Turut dibuka ialah tiga pusat mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu sempena PRK P.036 Kuala Terengganu yang diadakan serentak.

Seorang daripada anggota tentera yang membuang undi sempena PRN-15.

Kesemua pusat pengundian awal di enam negeri bereknaan ditutup secara berperingkat mengikut kedudukan kawasan pusat mengundi. PRN pada kali ini melibatkan 36 kerusi DUN di Kedah, Kelantan 45 kerusi, Terengganu 32 kerusi, Pulau Pinang 40 kerusi,  Selangor 56 kerusi, serta 36 kerusi di Negeri Sembilan.

Petugas di tempat pengundian melakukan kerja mengikuti proses yang ditetapkan.

SPR menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRN melibatkan enam negeri dan PRK Kuala Terengganu masing-masing pada 29 Julai dan 8 Ogos, manakala hari pengundian akan berlangsung pada 12 Ogos ini.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari penamaan calon pada 29 Julai lepas dan akan berakhir pada 11.59 malam, 11 Ogos.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi