Diterbitkan pada 10 Ogos 2023, 22:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – Bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRN-15) Negeri Kedah, pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan ceramah di beberapa buah tempat berasingan.

Pengerusi PN, YB Tan Sri Muhyidin Yassin akan turun berkempen di Langkawi dalam usaha memastikan calon yang mewakili PN akan melakar kemenangan di sana. Beliau dijangka turun padang bersama-sama YB Norhaslinda Zakaria, ADUN Pangkor dengan mengadakan ceramah malam ini di Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat. Di bawah Parlimen Langkawi, terdapat dua kerusi DUN, iaitu N01 Ayer Hangat dan N02 Kuah. PN meletakkan Shamsilah Siru di No1 Ayer Hangat dan Amar Pared Mahmud di N02 Kuah.

Poster Ceramah Perikatan Nasional yang dijadualkan berlangsung malam ini.

Begitu juga di Anak Bukit, pimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kedah turut mengadakan ceramah mega di kawasan tersebut. Antara penceramah yang terlibat ialah Dato Ustaz Ahmad Yahaya, Pesuruhjaya PAS Kedah, YB Dr. Fakharuddin Fakhurazi, ahli Parlimen Kuala Kedah dan beberapa pimpinan utama PAS yang lain.

Manakala “panglima perang” PN yang juga calon Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Sanusi Mad Nor akan berada di sekitar Sik dalam usaha untuk memastikan kerusi DUN di bawah Parlimen itu terus berada dalam genggaman PN.

PRN-15 di Kedah memperuntukkan sebanyak 36 kerusi DUN dengan menyaksikan beberapa kawasan menjadi tumpuan pada kali ini, antaranya termasuklah DUN Jeneri, Pedu, Alor Mengkudu, Gurun, dan Derga. Di Gurun, pertembungan mantan pemain bola sepak Malaysia, iaitu Baddrol Bakhtiar yang mewakili PN turut menarik perhatian pemerhati politik.

Beliau akan bertembung dengan calon gabungan PH-BN yang meletakkan Firdaus Johari, iaitu anak kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul yang juga mantan ADUN di kawasan tersebut. Pada PRU yang lepas, beliau telah memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 4207 setelah memperoleh 10372 undi dalam persaingan empat penjuru.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi