Diterbitkan pada 11 Ogos 2023, 17:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Batu Tiga – Berdasarkan tinjauan umum ke beberapa tempat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga, Shah Alam, rata-rata pengundi didapati mempunyai harapan tersendiri terhadap calon yang bakal dipilih dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

Bagi Zulkifli Harun, 40, penduduk tetap Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga, beliau telah meneliti calon yang bertanding, dan telah pun membuat keputusan untuk memilih calon yang sesuai antara mereka.

Tegasnya, individu yang dipilih mestilah seorang yang bersedia untuk mendengar masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat, mempunyai kredibiliti untuk memimpin, berintegriti dan mengotakan janji.

Tegasnya lagi, beliau amat berharap agar isu pembangunan di Batu Tiga, khususnya masalah banjir dapat diatasi dengan baik.

“Masalah banjir sudah sinonim sangat dengan Batu Tiga, entah bilakah akan berakhir?” keluh beliau.

Seorang lagi, peniaga kedai makan yang hanya ingin dikenali sebagai Pak Ayob berkata bahawa walaupun beliau akan pulang mengundi di Kelantan, namun beliau pasti pengundi di DUN Batu Tiga akan membuat pilihan yang terbaik.

Beliau yang sudah menetap di Taman Batu Tiga hampir 15 tahun berkata bahawa beliau selesa tinggal di situ kerana suasananya yang harmoni, tetapi apabila berlakunya banjir kilat, pendapatannya akan terjejas.

“Secara jujurnya, saya selesa tinggal di sini kerana suasana kejiranan yang harmoni, tetapi yang selalu menjadi masalah ialah kejadian banjir kilat yang menyebabkan pendapatan saya terjejas. Jadi saya sangat berharap agar calon yang dipilih nanti akan dapat mengatasi masalah ini,” katanya.

Sementara itu, bekas pensyarah kolej swasta, Puan Mona, yang ditemui di Seksyen 19, Shah Alam berkata bahawa beliau mempunyai prinsip tersendiri dalam hal memilih calon pilihan raya.

Katanya, beliau lebih gemar mengkaji terlebih dahulu latar belakang seseorang calon sebelum memutuskan untuk memilihnya sebagai wakil rakyat.

Bagi beliau, umur bukan menjadi penentu kewibawaan seseorang individu itu untuk memimpin kerana perkara yang lebih penting ialah jati diri yang perlu ada dalam diri seseorang calon tersebut.

 

Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Batu Tiga, Shah Alam, iaitu satu daripada tempat pembuangan undi bagi PRN DUN Batu Tiga, Shah Alam.

Dalam pada itu, tinjauan di tempat pengundian di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Batu Tiga, Shah Alam tengah hari tadi mendapati persediaan awal telah dilakukan menjelang pilihan raya esok.

Pada PRN kali ini, kerusi DUN Batu Tiga, Shah Alam, menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Danial Al-Rashid yang mewakili Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Rina Harun mewakili Perikatan Nasional (PN), dan Saiyidah Nur Razak atau dikenali sebagai Cheda Razak mewakili Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi