11 Ogos 2023, 19:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Negeri Sembilan – Segala persiapan untuk proses pengundian di Negeri Sembilan berjalan seperti yang dirancang berdasarkan carta perbatuan yang ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Hari ini, setiap petugas pilihan raya bertungkus lumus di 36 Pusat Penjumlahan Undi sejak awal pagi tadi untuk memastikan proses semakan peti undi berjaya disiapkan.

Menurut Pengurus SPR N.13 Sikamat, Encik Saiful Saadon, semakan peti undi ini dilakukan supaya semua keperluan yang diperlukan pada hari mengundi lengkap dan tidak rosak.

Di Pusat Penjumlahan Undi yang diurus oleh Encik Saiful ini, proses semakan peti undi telah selesai lebih awal sebelum tengah hari tadi.

Pada sebelah petangnya, Encik Saiful mengurus proses persiapan tempat untuk proses penjumlahan undi yang akan diadakan pada hari esok.

Ketika diwawancara, Encik Saiful berkongsi tentang inovasi terkini yang dilakukan oleh pihak SPR untuk memastikan keputusan dapat diumumkan dengan lebih awal.

Menurut Encik Saiful, pengundian pada kali ini unik kerana proses kemasukan data dilakukan secara dalam talian berbanding dengan kaedah menggunakan borang secara manual sebelumnya.

Tambah Encik Saiful lagi, inovasi ini telah dilaksanakan sejak hari penamaan calon lagi.

Pusat Penjumlahan Undi bagi DUN Sikamat telah siap sedia pada hari ini.

Kebijaksanaan SPR Negeri Sembilan juga terserlah pada pengundian kali ini apabila bersinergi dengan beberapa jabatan yang ada di negeri ini.

Encik Saiful menerangkan bahawa sinergi ini dapat menjimatkan tenaga kerja dan sumber.

Di Negeri Sembilan, sinergi ini melibatkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Majlis Perbandaran, Pejabat Pembangunan Negeri, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pendidikan, dan Jabatan Pertanian.

Bagi memastikan proses pengundian esok berjalan dengan lancar, semua petugas di Pusat Penjumlahan Undi pada hari ini bertungkus lumus menyiapkan kelengkapan dan peralatan yang diperlukan.

Pada masa yang sama, iaitu pada petang ini, 55 orang Ketua Tempat Mengundi (KTM) bersama-sama petugas masing-masing menyiapkan 55 saluran mengundi supaya proses pengundian esok di seluruh DUN Sikamat berjalan dengan lancar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.