11 Ogos 2023, 19:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sikamat – Lima pesanan penting dititipkan untuk lebih kurang 72 ribu pengundi berdaftar di DUN Sikamat oleh Pegawai Pengurus SPR N.13 Sikamat pada hari ini.

Ketika ditemui tengah hari tadi, Encik Saiful Saadon yang merupakan Pegawai Undang-undang dari Majlis Bandaraya Seremban yang dilantik  sebagai Pegawai Pengurus SPR N.13 Sikamat menyeru semua pengundi berdaftar di DUN Sikamat supaya keluar mengundi.

Selaku Pegawai Pengurus SPR N.13, Encik Saiful menitipkan pesanan untuk seluruh pengundi di DUN Sikamat.

Sebelum hadir ke tempat mengundi, Encik Saiful berpesan supaya setiap pengundi membawa kad pengenalan masing-masing.

Walaupun kelihatan remeh, perkara ini antara perkara yang menjadi masalah kepada pengundi sekiranya diabaikan.

Seterusnya, bagi memastikan proses di tempat mengundi lebih cepat, Encik Saiful menasihati pengundi supaya menyemak maklumat pengundi melalui MySPR Semak terlebih dahulu.

Antara maklumat penting yang perlu diketahui secara awal termasuklah nombor saluran dan nombor giliran.

Semakan tersebut penting untuk memudahkan petugas mencari nama pengundi melalui senarai daftar pengundi esok.

Untuk makluman pengundi, susunan nama pengundi bukannya berdasarkan susunan abjad, sebaliknya susunan nombor giliran.

Oleh itu, dengan maklumat nombor giliran yang telah diketahui dengan lebih awal, tugas petugas SPR menjadi lebih mudah dan pengundi tidak perlu menunggu lama.

Bagi pengundi yang bimbang akan ramalan cuaca hujan pada pagi esok, dan tidak mahu keluar mengundi pada awal pagi, Encik Saiful menegaskan bahawa perkara tersebut bukanlah suatu masalah.

Dalam hal ini, pihak SPR telah menyediakan kenderaan untuk membawa pengundi dari pagar tempat mengundi ke barong SPR di tempat mengundi tertentu.

Pesanan terakhir daripada Pegawai Pengurus SPR N.13 Sikamat ini, setiap pengundi disarankan agar mematuhi jadual masa mengundi yang telah ditetapkan oleh SPR.

Semua maklumat ini boleh diketahui melalui semakan di  MySPR Semak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.