11 Ogos 2023, 02:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – “Sesungguhnya pelajar sekolah harian biasa juga boleh meraih kecemerlangan sekiranya memfokuskan keberhasilan yang mencakupi kepelbagaian kompetensi dengan menekankan keterangkuman unsur karamah insaniah, iaitu karakter, kompetensi dan indikator,” ulas Muhammad Saniy bin Samsudin dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Ahli panel dan moderator Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia Pelajar Lepas Menengah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dua ikon pelajar cemerlang, iaitu Muhammad Saniy bin Samsudin dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM)  dan Mohamad Shahrul bin Yusoff pelajar lepasan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), serta Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Encik Naharudeen bin Othman, telah diundang sebagai ahli panel dalam Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia Pelajar Lepas Menengah anjuran Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) semalam. Ketiga-tiga panel ini telah berkongsi pandangan mengenai nilai kemampanan, kesejahteraan, berdaya cipta, hormat, berkeyakinan dan ihsan yang perlu diterapkan dalam diri setiap pelajar.

YB Fadhlina Sidek bergambar bersama-sama sebahagian daripada 500 orang pelajar yang hadir dalam program tersebut.

Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia Pelajar Lepas Menengah KPM ini yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek di Ellisa Garden, di Titi Gajah, Alor Setar, semalam telah dihadiri oleh 500 orang pelajar tingkatan enam, kolej matrikuliasi, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG) dan kolej vokasional.

Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Encik Naharudeen bin Othman,

Program yang diadakan ini bertujuan untuk memupuk keperibadian bangsa Malaysia dalam kalangan pelajar berteraskan nilai patriotisme, kepimpinan dan tanggungjawab sosial. Penganjuran program ini selaras dengan usaha KPM untuk melahirkan generasi muda yang hebat pada masa hadapan.

Muhammad Saniy bin Samsudin sewaktu berkongsi pengalaman bersama-sama peserta program.

Sementara itu, Muhammad Saniy yang baru sahaja pulang dari Amerika Syarikat turut berkongsi pengalaman beliau menyertai program dengan pemimpin belia dari Brunei, Myanmar, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Melalui program tersebut beliau telah diberikan peluang untuk berbincang dan mengkaji tentang perkembangan, sejarah, cabaran dan kejayaan perusahaan yang dikecapi oleh pemimpin dan masyarakat di Amerika Syarikat hingga ke peringkat global.

Ikon jemputan KPM ini juga merupakan belia tajaan program Jabatan Negara Amerika Syarikat, pembentang Kertas Kerja Terbaik bertajuk “Krisis Ekonomi Global” yang disertai oleh 740 perwakilan antarabangsa dari 58 buah negara dan Pemenang Kluster Kepimpinan Pelajar; Anugerah Kepimpinan Kolej Kediaman Terbaik bersempena dengan majlis Anugerah Tokoh Siswa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Manakala pelajar lepasan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Mohamad Shahrul Yusoff pula berkongsi kejayaannya membuka perniagaan sendiri selepas tamat pengajian.

Menurutnya lagi,

Walaupun saya tidak melanjutkan pengajian pada peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan hanya lepasan TVET dalam bidang dandanan rambut, tetapi saya tetap berbangga kerana saya kini memiliki tiga buah cawangan salon gunting rambut hasil daripada pengajian di Kolej Vokasional.

Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia Pelajar Lepas Menengah KPM ini merupakan satu daripada inisiatif penting dalam membina moral yang berkonsepkan Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC) dalam melahirkan generasi bijak pandai dan mempunyai sahsiah diri yang baik.

Antara pegawai dari Kementerian Pendidikan Malaysia dan pelajar yang turut hadir dalam program tersebut.

Program tersebut juga termasuk dalam inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Negara dan sebahagian daripada inisiatif yang menghimpunkan pelajar lepasan sekolah menegah dalam satu program. Inisiatif tersebut dibuat untuk memastikan perbincangan yang berlaku berkait rapat dengan pembinaan karakter bangsa yang melibatkan pelajar tingkatan enam, IPG, kolej matrikulasi dan kolej vokasional tahun 2023 di negeri Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.