Oleh Lutfi Zahid
12 Ogos 2023, 11:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Foto: Farid Janudin

Selayang – Calon Menteri Besar Selangor bagi gabungan PH-BN, Datuk Seri Amirudin Shari selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Selayang Baru pada pukul 8.45 pagi tadi bagi kerusi DUN N.16 Sungai Tua.

Beliau bersama-sama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad, yang tiba di pusat mengundi pada pukul 8.25 pagi menarik perhatian para pengundi dan petugas media apabila hadir dengan menaiki motosikal Vespa dan berpenampilan ringkas dengan berbaju jersi pasukan bola sepak Selangor.

Datuk Amirudin Shari bersama-sama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad selesai mengundi pada pukul 8.45 pagi.

Beliau kemudiannya membuang undi di saluran lima di sini, sebelum beramah mesra dengan para pengundi yang sedang beratur menunggu giliran.

Datuk Seri Amirudin mengambil kesempatan menasihati rakyat Selangor untuk keluar mengundi lebih awal bagi mengelakkan kesesakan dan keadaan cuaca yang tidak dapat dijangka pada sebelah petang.

Menurut sumber Suruhanjaya Pilihan Raya, setakat pukul 10.00 pagi, peratusan keluar mengundi bagi PRN Selangor adalah sebanyak 19 peratus.

Datuk Seri Amirudin Shari beramah mesra dengan pengundi di SJK (C) Selayang Baru.

SPR menetapkan pusat pengundian di enam negeri yang terlibat dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, iaitu Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan dibuka seawal pukul 8.00 pagi hingga pukul 6.00 petang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.