12 Ogos 2023, 11:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Negeri Sembilan – Nasib 86 calon Pilihanraya Umum Negeri Sembilan ditentukan hari ini.

Semua calon yang melibatkan lima parti, iaitu Perikatan Nasional, Barisan Nasional, Harapan, MUDA dan bebas ini merebut 36 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Dengan pembukaan pusat mengundi secara rasmi di Negeri Sembilan seawal pukul 7.30 pagi tadi, bermulalah pertempuran sebenar antara semua calon yang terlibat.

Dalam pengundian kali ini, sebanyak 334 sekolah di Negeri Sembilan dipilih sebagai pusat mengundi.

Beberapa pegawai pendidikan pula dilantik sebagai Ketua Tempat Mengundi dan Pegawai Pengurus dalam PRU Negeri Sembilan ini.

Di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Mohd. Redza, pengundi telah mula beratur sejak pukul 7.00 pagi.

Setelah pengundi dibenarkan masuk dan menyemak nombor giliran masing-masing, pengundi mula beratur di hadapan saluran mengundi masing-masing.

Bagi pengundi saluran 1, iaitu untuk pengundi warga emas, pihak SPR menyediakan kerusi untuk kemudahan mereka.

Pengundi saluran 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Mohd. Redza disediakan kerusi sambil menanti giliran untuk mengundi.

Pusat pengundian ini akan ditutup pada pukul 6.00 petang.

Kemudian, petugas SPR akan mula mengira kertas undi dan proses tersebut dijangka selesai lebih kurang pukul 7.30 – 8.00 malam sebelum dibawa maklumat tersebut ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

Di 36 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi pula akan diumumkan calon yang memenangi DUN masing-masing.

Calon yang memenangi kerusi N.13 Sikamat dijangka akan diumumkan secara rasmi di Dewan Komuniti Taman Coral Heights Sikamat yang menjadi Pusat Penjumlahan Rasmi Undi pada pukul 9.00 malam ini.

Mampukah 86 calon di Negeri Sembilan ini meraih simpati  864 426 pengundi berdaftar yang sepatutnya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Negeri Sembilan hari ini?

Kita nantikan keputusan penuh malam nanti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.