Oleh Lutfi Zahid
12 Ogos 2023, 15:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Berbaki beberapa jam sebelum pusat mengundi di seluruh Selangor ditutup pada pukul 6.00 petang ini, debaran kian terasa untuk mengetahui siapa yang bakal mentadbir negeri ini.

Mengulas tentang jangkaan keputusan PRN Selangor, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Datuk Profesor Dr. Sivamurugan Pandian berkata kepada pasukan media JendelaDBP bahawa keputusan PRN Selangor setakat ini dilihat berpihak kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). Jelas beliau,

Namun, semuanya bergantung kepada peratusan keluar mengundi di sini. Jangkaan keputusan ini pastinya dipengaruhi oleh pengundi Melayu.

Datuk Profesor Dr. Sivamurugan Pandian menjangkakan bahawa keputusan PRN Selangor dipengaruhi oleh pengundi Melayu.

Ketika PRU Ke-14 yang lepas, dapat diperhatikan bahawa trend pengundi muda Melayu lebih memilih gabungan Perikatan Nasional (PN). Dalam konteks PRN Selangor pada kali ini, beliau melihat bahawa sememangnya trend itu akan terus kelihatan. Jelasnya,

Pengundi muda Melayu sekarang sememangnya tidak lagi dilihat mengundi mengikut parti tertentu. Mereka berkemungkinan melihat pilihan alternatif yang lain selain faktor parti semata-mata, dan ini bukan sahaja terlihat di Selangor sahaja, tetapi juga di negeri lain juga.

Akhirnya, beliau menjangkakan bahawa keputusan PRN pada kali ini bersifat status quo, iaitu 3-3.

“Bahasa menjadi mangsa pertama dalam peperangan psikologi pilihan raya” – Profesor Dr. Makmor Tumin

Melihat kepada aspek psikologi, Profesor Dr. Makmor Tumin dari Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan Universiti Malaya berpandangan bahawa pilihan raya merupakan medan perang psikologi dalam politik. Dalam “peperangan” ini, mangsa pertamanya ialah bahasa.

Dalam peperangan ini, individu tidak lagi bercakap dengan berhemah dan ilmu retorika disalahgunakan. Bahasa digunakan untuk mengolah mereka yang menabur rasuah sebagai seorang yang pemurah. Begitulah sebagaimana yang ada dalam minda Thucydides dan Machiavelli tentang perang sebenar dan perang psikologi.

PRN Ke-15 pada kali ini menyaksikan buat pertama kalinya enam buah negeri, iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan mengadakan PRN secara serentak pada hari ini.

Jumlah kerusi DUN yang dipertandingkan di kesemua negeri yang terlibat adalah sebanyak 245 kerusi DUN.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.