Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBatu Tiga – Beberapa pusat pengundian di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga, Shah Alam didapati mencatatkan peratusan keluar mengundi yang rendah, di samping suasana lengang dan tidak semeriah pilihan raya sebelum ini walaupun Pilihan Raya Negeri (PRN) pada kali ini dikatakan lebih hangat dan sengit.
Tinjauan di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18, Shah Alam setakat pukul 12.00 tengah hari tadi mendapati ada antara saluran yang kosong dengan tiada pengundi berbaris.
Hal yang sama juga berlaku di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 20, Shah Alam; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19, Shah Alam; dan Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ), Batu Tiga, Shah Alam.

Menurut Encik Ahmad Roslan Mohammed, Penyelia Pusat Mengundi SMK Seksyen 18, beliau terkejut melihat suasana mengundi pada kali ini yang tidak semeriah pilihan raya pada sebelum ini.
Beliau berkata bahawa berdasarkan maklumat yang diperoleh, peratusan pengundi yang keluar mengundi di sekitar Shah Alam sehingga pukul 12.00 tengah hari lebih kurang 35 peratus sahaja.
“Peratusan kenaikan jumlah pengundi pada setiap jam tidak banyak, lebih kurang sekitar lapan peratus sahaja, dan hal ini amat jauh berbeza daripada keadaan pilihan raya sebelum ini.
“Realitinya dari awal pagi tadi tidak banyak pengundi yang datang, dari pukul 8.00 hingga 9.00 pagi hanya ada lebih kurang sembilan peratus, dan meningkat hingga 18 peratus selepas pukul 10.30 pagi,” katanya.
Roslan berpendapat bahawa trend ini berkemungkinan disebabkan oleh kurangnya keghairahan dalam kalangan pengundi kerana baru sahaja mengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada November 2022 yang lalu.

Namun begitu, beliau mendapati trend yang agak meningkat pada saluran pertama, iaitu warga emas dan orang kurang upaya (OKU) kerana telah mencecah 50 peratus daripada pemilih berdaftar, dan terdapat perkembangan positif pada saluran tujuh, iaitu golongan muda.
Walau bagaimanapun, dalam situasi yang dikatakan kurang meriah tersebut, masih terdapat pengundi yang bersemangat untuk keluar mengundi demi menunaikan tanggungjawab terhadap negara.

Seorang pesara kerajaan yang ditemui di pusat pengundian SMK Seksyen 19, Encik Zainuddin Ahmad berkata bahawa beliau dan isteri memang tidak akan melepaskan peluang untuk keluar mengundi kerana peluang tersebut akan menentukan kerajaan yang akan memimpin nanti.
“Hari ini hari kita, mengapa tidak mahu keluar mengundi?” katanya yang memakai pakaian bertemakan hari kebangsaan serta bertanjak itu.
Istimewanya, di samping meminati pakaian kebangsaan, beliau juga merupakan pejuang bahasa Melayu.
Sementara itu, seorang lagi pengundi yang ditemui, Encik Ahmad Tarmizi, 67 tahun berkata bahawa beliau tidak akan melepaskan peluang untuk mengundi selagi berdaya dan diberikan kesihatan.

Beliau yang berkerusi roda dan ditemani oleh isteri kelihatan bersemangat walaupun sesekali bercerita tentang kesukarannya untuk berjalan.
“Saya pasti keluar mengundi, melainkan jika tidak berdaya langsung, tetapi jika boleh diusung, saya tetap akan keluar mengundi juga,” katanya sambil ketawa.