12 Ogos 2023, 18:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Negeri Sembilan – Pengundi yang terdiri daripada pelbagai latar belakang di Negeri Sembilan mempunyai pelbagai harapan terhadap kerajaan yang bakal dibentuk.

Bagi Kamal yang berumur 37 tahun yang merupakan pengundi di DUN Sikamat, dia berharap agar keadaan yang harmoni di Negeri Sembilan ini dikekalkan.

Keharmonian ini bukanlah semata-mata setiap orang menghormati antara satu dengan lain, tetapi turut mewujudkan rasa kebertanggungjawaban terhadap anak orang lain dalam komuniti tanpa rasa prejudis.

Dalam hal ini, Kamal berharap agar kerajaan melakukan sesuatu yang membolehkan setiap orang dapat saling menegur anak orang lain apabila melakukan kesalahan.

Suasana ini yang pernah menjadi budaya masyarakat pada zaman dahulu perlu dihidupkan semula tanpa menimbulkan pergaduhan.

Dari aspek pembangunan pula, Kamal berharap agar kerajaan dapat menyeimbangkan antara pembangunan dengan kelestarian alam sekitar.

Kamal berharap agar keadaan harmoni dikekalkan.

Bagi Zulkifli, seorang peniaga yang juga merupakan pengundi di DUN Sikamat, dia berharap agar kerajaan dapat menyelesaikan masalah harga barang.

Bagi peniaga sepertinya, kerajaan seharusnya memberikan bantuan subsidi dan insentif yang dapat meneruskan kelangsungan perniagaannya.

Apabila ingin membuat permohonan bantuan di jabatan kerajaan pula, Zulkifli berharap agar kerenah birokrasi dapat dikurangkan.

Selain itu, tarif elektrik perlu dilihat semula oleh kerajaan.

Masalah pokok besar yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna juga perlu diselesaikan segera.

Zulkifli memohon kerajaan membanyakkan insentif dalam sektor perniagaan.

Bagi Azmir, pekerja swasta yang perlu berulang-alik ke tempat kerjanya di Petaling Jaya dari Sikamat pada setiap hari, beliau sangat berharap agar kerajaan yang akan memimpin Negeri Sembilan ini memfokuskan isu peluang pekerjaan di Negeri Sembilan.

Namun begitu, Azmir berharap agar setelah wujudnya peluang pekerjaan, kerajaan perlu mengawal kemasukan pekerja asing supaya tidak menjadi pesaing kepada rakyat Negeri Sembilan.

Azmir yang mengundi buat kali kedua di DUN Sikamat ini juga berharap agar kerajaan menambah bilangan sekolah dan universiti di Negeri Sembilan.

Aspek perkhidmatan kesihatan juga antara  perkara lain yang diharapkan oleh Azmir.

Menurut Azmir, waktu menunggu mendapatkan rawatan di klinik dan hospital adalah terlalu lama.

Bukan itu sahaja masalah yang dihadapi di klinik atau hospital ini, kekurangan tempat letak kenderaan juga menyukarkan pesakit apabila datang ke hospital.

Tarif air yang terlalu tinggi pula menyebabkan bil elektrik yang perlu dibayar meningkat antara 20 peratus hingga 30 peratus dan merupakan perkara yang sangat membebankan penduduk sepertinya.

Azmir mahu waktu menunggu untuk mendapatkan rawatan di hospital disingkatkan.

Bagi Mohd Badrul Naim, seorang pengundi muda yang baru berumur 23 tahun yang mengundi di Rantau, kerajaan yang terbentuk perlu menyelesaikan masalah air yang dihadapi oleh peniaga kabin.

Menurut Badrul lagi, harga barang yang semakin meningkat menyukarkan kehidupan orang muda sepertinya.

Inilah antara harapan yang sempat diluahkan kepada penulis yang perlu dilihat oleh kerajaan yang akan dibentuk.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.