Oleh Abd Razak Osman
12 Ogos 2023, 08:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Kesan sakit pembedahan ketumbuhan dalam rahim masih terasa, namun Siti Hanisah Samsudin, 22, sanggup keluar dari rumahnya, Kampung Batu 2 Jalan Kuala Ketil untuk sama-sama membuang undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Teik Jalan Pekan Lama, di sini pada hari ini.

Siti Hanisah Samsudin menaiki kerusi roda sebelum mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Teik Batu Dua, Sungai Petani.

Katanya, dia berbuat demikian selepas menjalani pembedahan itu di Hospital Pantai Sungai Petani pada 9 Ogos lalu kira-kira pukul 2.00 petang.

Katanya, amat sakit sekali dalam situasi seperti ini tetapi hadir juga untuk membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) N29 Sidam, di sini.

Terpaksa naik kerusi roda ditolak oleh suami, Nur Akmal Danial Zamri, 24, untuk sampai ke pusat pembuangan undi.

Nur Ilyana Abd. Razak ketika berada di pusat pembuangan undi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Teik Batu Dua, Sungai Petani.

Seorang suri rumah, Nur Ilyana Abd Razak, 32, dari Taman Sri Astana pula terpaksa membawa dua orang anaknya ke pusat pembuangan undi di sekolah yang sama.

Saya datang buang undi di sekolah itu kerana suami, Mohd Haniff Roslan, 32, bekerja di Daihatsu, Butterworth, Pulau Pinang, hari ini.

Katanya, sebelum mengundi beliau terpaksa membuat pelbagai pertanyaan kepada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terlebih dahulu supaya semua urusan menjadi mudah.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) N29 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sidam, dua orang calon bertanding, iaitu Bau Won Bau Ek dari Pakatan Harapan manakala calon Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu, Juliana Abdul Ghani.

Dalam perkembangan lain, seorang warga emas berusia 99 tahun 5 bulan, Osman Jusuh dari Kampung Mengkuang Masjid, Kuala Pegang, Baling tidak keluar mengundi pada PRN ke-15 DUN Kupang kali ini kerana masalah kesihatan.

Walaupun ada pihak mahu mengambilnya untuk dibawa menaiki kereta ke pusat pembuangan undi itu, Osman tetap menolaknya dengan alasan, anak-anak lain yang sihat ada pergi mengundi.

Menurutnya, selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dia tetap mengundi setiap kali diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) itu tetapi kali ini tidak berdaya lagi untuk berbuat demikian dalam keadaan usianya sebegitu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.