13 Ogos 2023, 00:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sikamat – Seperti yang telah diramalkan, calon Menteri Besar Negeri Sembilan berjaya mempertahankan kerusi DUN N.13 Sikamat.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Pegawai Pengurus SPR N.13, iaitu Encik Saiful Saadon pada pukul 10.08 minit tadi di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi bagi DUN Sikamat.

Sambil ditemani oleh Setiausaha Agung DAP, iaitu Anthony Loke, Datuk Seri Aminuddin Harun melangkah masuk ke Dewan Komuniti Taman Coral Heights Sikamat dengan langkah bergaya untuk meraikan kemenangannya.

Dalam pertandingan empat penjuru di DUN Sikamat ini, Datuk Seri Aminuddin Harun berjaya menewaskan calon Perikatan Nasional, iaitu Ahmad Raihan Muhamad Hilal, serta dua orang calon bebas, iaitu Bujang Abu dan Mohammed Hafiz Baharudin.

Walaupun menang, jumlah majoriti kali ini merosot kepada 2662 undi berbanding dengan 3413 pada PRU-14 yang lalu.

Berita baiknya, jumlah pengundi yang mengundi beliau meningkat kepada 12 730 pengundi berbanding dengan 9832 pengundi ketika mewakili parti Keadilan Rakyat.

Datuk Seri Aminuddin Harun berterima kasih kepada pengundi yang masih memberikan kepercayaan kepada beliau.

Sekiranya dilihat secara lebih mendalam, kedudukan calon Menteri Besar Negeri Sembilan ini berada dalam keadaan bahaya.

Hal ini dikatakan demikian kerana gabungan penyokong Barisan Nasional dan penyokong Parti Keadilan Rakyat sepatutnya membolehkan beliau menerima undi melebihi 16 000 undi jika dilihat kepada keputusan PRU yang lalu.

Yang lebih menakutkan, undi terhadap pembangkang sebelum ini telah meningkat dengan lebih banyak, iaitu daripada 1331 undi yang diterima oleh calon PAS pada PRU-14 yang lalu kepada 10 068 undi yang diberikan kepada calon Perikatan Nasional pada kali ini.

Ketika diminta mengulas tentang kemenangannya, beliau bersyukur kerana masih diberi kepercayaan oleh pengundi, tetapi dalam masa yang sama, tidak menyangka bahawa gelombang hijau sememangnya wujud di Negeri Sembilan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.