Oleh Hisyam Basabah
23 Ogos 2023, 17:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sesebuah negara itu dapat berdiri dengan adanya empat elemen utama, iaitu tanah, rakyat, kerajaan dan kedaulatan. Keempat-empat elemen ini kemudiannya bersatu menjadi suatu entiti politik yang memainkan peranan penting sebagai satu daripada faktor utama dalam sistem antarabangsa. Sesebuah negara lazimnya berdiri pada kelompok etnik yang sama, iaitu sebahagian daripada kelompok primordial, yang menurut Clifford Geertz hadir sebagai suatu anugerah yang terhasil daripada konstruksi sosial yang cukup lama. Penubuhan sesebuah negara merupakan sebuah konsep idea abstraktif yang kompleks. Konsep ini merupakan hasil daripada sebuah sintesis yang memiliki pertautan kompleksiti akar budaya dan sejarah yang panjang serta sarat dengan makna aspirasi untuk masa hadapan.

Idea penubuhan sesebuah negara bangsa secara idealistiknya merujuk sesebuah bangsa yang dominan. Namun begitu, mobilisasi masyarakat yang berhijrah dari satu wilayah ke satu wilayah yang lain telah menjadikan konsep ini hanya tertulis kemas di atas kertas sahaja, namun tidak dari sudut praktikalnya. Tidak ada negara di dalam sistem antarabangsa yang hanya memiliki sebuah bangsa sahaja, pasti akan ada bangsa lain yang turut mendiami wilayah di negara tersebut. Walau bagaimanapun, bukan semua sempadan negara ditentukan oleh majoriti etnik yang berada di sesebuah wilayah tersebut, ada juga negara yang berdiri di atas dasar penjajahan yang kemudiannya diwarisi oleh negara bekas jajahan.

China merupakan satu daripada contoh negara yang didirikan atas sebab perluasan wilayah oleh maharaja dinasti terdahulu sehingga terdapat beberapa wilayah di China yang tidak berkongsi identiti dengan majoriti masyarakat China yang berketurunan Han. Wilayah seperti Xinjiang, Tibet dan Inner Mongolia merupakan antara tiga buah wilayah yang mempunyai identiti berbeza dengan wilayah lain di China. Keadaan ini menyebabkan masyarakat moden pada hari ini mengalami cabaran untuk menyebarluaskan budaya Han sebagai asas kenegaraan China. Walau bagaimanapun, China telah mengambil langkah drastik dengan menggunakan kaedah “paksaan” bagi mengukuhkan semangat kemasyarakatan, selain menyebarkan ideologi yang didukung oleh pemerintah China ke setiap penjuru negara tersebut. Bagi pemerintah China, nasionalisasi etnik ke atas etnik minoriti yang berada di wilayah Xinjiang, Tibet dan Inner Mongolia adalah suatu perkara yang wajar bagi melahirkan sebuah negara yang mempunyai persamaan identiti. Melalui persamaan identiti dan penerimaan identiti pihak minoriti terhadap identiti nasional sesebuah negara akan melahirkan negara yang bersatu padu dan mempunyai ketahanan domestik yang disebut sebagai nasionalisme.

Oleh itu, dalam konteks rakyat Malaysia yang secara idealnya merupakan sebuah negara yang berorientasikan masyarakat Bumiputera, seharusnya rakyat Malaysia bersedia menerima hakikat bahawa Malaysia didirikan dengan nilai fitrah yang berorientasikan adat, tradisi dan undang-undang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, model yang diamalkan oleh Malaysia tidak sama dengan model yang diamalkan oleh China, iaitu pengasimilasian etnik minoriti terhadap etnik majoriti. Malaysia menggunakan model integrasi atau lebih tepat lagi disebut sebagai model akomodasi seperti yang dinyatakan oleh Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin. Konsep integrasi mahupun akomodasi sangat diperlukan untuk melahirkan model negara bangsa idaman. Hal ini sekaligus tidak memungkinkan nasionalisasi etnik berlangsung secara menyeluruh sebagai kunci ketahanan nasional. Harus difahami bahawa sesebuah negara yang kukuh hanya akan dapat dicapai apabila semua rakyat di sesebuah negara mampu bersatu padu dan menerima syarat nilai sepunya negara tersebut melalui nasionalisasi etnik terhadap nilai fitrah negara tersebut.

Jika Malaysia benar-benar serius dalam perancangan mencapai negara bangsa idaman, semua pihak terutamanya kerajaan perlu mengkaji semula pendekatan modul negara bangsa yang telah diamalkan oleh negara ini sejak sekian lamanya. Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara merupakan ideologi bagi negara dan set tatacara bagi menjalani kehidupan sebagai rakyat Malaysia. Namun begitu, perkara ini hanya tinggal sebagai catatan dan dokumen semata-mata sekiranya tidak disertai dengan keazaman politik yang jitu oleh segenap lapisan masyarakat terutamanya pihak kerajaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.