28 Ogos 2023, 15:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Memikul tanggungjawab sebagai seorang guru bukanlah satu amanah yang mudah untuk digalas. Apatah lagi apabila digelar sebagai seorang guru dalam bidang pendidikan khas. Guru pendidikan khas tidak hanya ditugaskan untuk menyampaikan ilmu akademik semata-mata, malahan turut bertanggungjawab untuk membekalkan anak istimewa dengan ilmu bagi mempersiapkan diri mereka dengan kemahiran yang wajar dalam menempuh dunia pekerjaan selepas menamatkan persekolahan. Ekoran itu, wujudlah mata pelajaran kemahiran vokasional kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) agar dapat memupuk nilai kebolehpasaran dalam diri anak-anak ini sebelum menamatkan persekolahan.

Kebolehpasaran merupakan pembangunan kemahiran tertentu yang membolehkan seseorang itu mendapatkan pekerjaan. Antara kemahiran yang diperlukan, termasuklah kemahiran komunikasi, kemahiran membuat keputusan dan kemahiran penyelesaian masalah, manakala aspek personal pula meliputi sikap dan tingkah laku individu di tempat kerja. Sehubungan dengan itu, nilai kebolehpasaran perlu diterapkan dalam kalangan MBPK pada peringkat sekolah menengah. Menyedari akan kepentingan itu, guru pendidikan menggalas peranan utama dalam memastikan kebolehpasaran MBPK dapat dipupuk dan ditingkatkan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Guru pendidikan khas mempunyai peranan penting dalam mempersiapkan diri MBPK dengan pengetahuan dan kemahiran hidup bagi memudahkan mereka menjalani rutin kehidupan dengan baik. Perkara ini membawa makna kepada keupayaan MBPK dalam pengurusan diri dan masa. Hal ini juga selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang berhasrat untuk melahirkan MBPK yang mampu berdikari dan menguruskan kehidupan sendiri. Pengajaran kemahiran hidup memerlukan MBPK untuk mengawal emosi dan tingkah laku bersesuaian dengan situasi yang berlaku di sekelilingnya. Dengan adanya penguasaan kemahiran itu, MBPK dapat menjalani kehidupan sebagai seorang pekerja dengan lebih baik.

Selanjutnya, guru pendidikan khas perlu memastikan MBPK dapat menguasai kemahiran kerjaya dan vokasional melalui pembelajaran mata pelajaran kemahiran asas vokasional (KAV) ataupun kemahiran vokasional spesifik (KVS). Hal ini sejajar dengan matlamat Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) yakni menyediakan modal insan berkemahiran tinggi, nilai kebolehpasaran dan pekerjaan yang relevan dalam memenuhi keperluan tenaga kerja, di samping peningkatan ekonomi negara. Rentetan itu, guru perlu menerapkan ciri-ciri seperti pengalaman bekerja menggunakan alatan dan bahan, mematuhi etika kerja, mempraktikkan keselamatan, boleh menyelesaikan masalah dan memiliki ciri keusahawanan.

Selain itu, penerapan kemahiran generik dalam diri MBPK merupakan tanggungjawab yang perlu dilunaskan oleh guru pendidikan khas. Kemahiran generik adalah bersamaan dengan kemahiran insaniah yang tidak boleh dipelajari melalui kurikulum sahaja. Kemahiran ini berfungsi untuk menjadikan MBPK lebih cekap, produktif dan boleh beradaptasi dengan persekitaran pekerjaan. Antara kemahiran generik yang MBPK perlu ada agar diterima bekerja oleh majikan adalah seperti kemahiran berfikir dan kemahiran bahasa yang meliputi membaca, menulis dan menaakul.

Guru pendidikan khas juga berperanan untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dan sosial MBPK. Kedua-dua kemahiran ini saling berkaitan kerana memudahkan MBPK untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran pekerjaan yang baharu serta bersama rakan sekerja. Aspek utama yang boleh ditekankan oleh guru dalam peningkatan dua kemahiran ini terhadap MBPK ialah kemahiran mendengar arahan, boleh bergaul dan bekerjasama dengan rakan sekerja, memiliki sifat menghormati orang lain serta mampu menggunakan bahasa badan yang bersesuaian dengan situasi ataupun keadaan. Dengan adanya peranan guru ini, tahap keyakinan MBPK untuk bekerja dapat ditingkatkan apabila bekerja bersama-sama individu tipikal lain.

Guru dalam bidang pendidikan khas juga mempunyai peranan memupuk kemahiran advokasi kepada MBPK yang dilihat menjadi nilai tambah dalam kebolehpasaran mereka sebelum menamatkan persekolahan. Kemahiran advokasi diri merupakan satu kemahiran yang mengajar MBPK untuk mempersiapkan diri menghadapi cabaran dalam kehidupan seharian. Perkara ini penting dalam transisi MBPK mendepani alam pekerjaan dan kedewasaan. Ciri advokasi diri yang boleh diterapkan dalam diri MBPK termasuklah aspek kesedaran diri. Apabila MBPK sudah mula memahami dan menerima keadaan diri, sifat tanggungjawab dalam diri mereka dapat dibentuk, malah mereka lebih berdisiplin dan berdikari.

Pada masa yang sama, kemahiran advokasi juga memerlukan guru untuk membekalkan MBPK dengan pengetahuan mengenai hak asas. MBPK juga berhak untuk mengetahui hak mereka sebagai seorang individu, pengguna apatah lagi sebagai seorang pekerja. Apabila hal ini berlaku, mereka dapat mempertahankan diri sendiri dan tidak mudah didiskriminasikan oleh rakan sekerja ataupun majikan hanya disebabkan mereka pemegang kad berwarna merah jambu. Hal ini dikatakan demikian kerana, nilai kebolehpasaran tidak hanya terletak pada keupayaan mereka untuk bekerja semata-mata, malahan aspek pengetahuan dalam setiap hak asas juga adalah penting untuk dikuasai oleh mereka.

Intihanya, guru pendidikan khas merupakan individu yang sangat penting dalam memastikan kebolehpasaran MBPK di sekolah, selain menggalas beban yang sangat berat dalam menyediakan kemahiran demi keberhasilan MBPK dalam dunia pekerjaan. Walau bagaimanapun, peranan ini haruslah disokong dengan pelbagai pihak, terutamanya ibu bapa dan majikan. Impaknya, MBPK dapat memasuki sektor pekerjaan pada peringkat yang lebih awal. Maka itu, MBPK yang mempunyai nilai kebolehpasaran yang berkualiti mampu memberikan impak yang positif terhadap ekonomi negara.

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.