31 Ogos 2023, 16:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysia telah memasuki usia 66 tahun kemerdekaan yang bukan sahaja dicorakkan oleh pelbagai ceritera politik, sosial, pendidikan, ekonomi, malah turut melibatkan aspek kemajuan sains dan teknologi. Malaysia dihuni oleh kepelbagaian etnik yang diidentifikasikan menerusi agama, bahasa dan budaya yang pelbagai dan berlangsung dalam suasana harmoni dalam tempoh 66 tahun lamanya.

Isu perpaduan yang membawa kepada perpecahan kaum yang ketara, diyakini tidak pernah berlaku kecuali satu-satunya ketika berlakunya peristiwa 13 Mei 1969. Kedamaian dan keharmonian yang dikecapi bukan dilakar sekadar dengan garisan lurus, sebaliknya melibatkan pelbagai jenis garisan dan corak yang disuaipadankan dengan pelaksanaan tanpa jemu oleh pelbagai pihak yang sedar tentang erti keamanan hidup dalam kepelbagaian kaum dan etnik. Namun begitu, isunya ialah adakah perpaduan yang dicipta ini kekal dan pasti utuh sehingga ke akhirnya?

Masyarakat harus sedar bahawa sentimen etnik dan cetusan semangat etnosentrisme itu sentiasa berlaku. Mainan politik dalam isu-isu etnik sering kali diuar-uarkan dari pelbagai penjuru. Semangat keikhlasan dan kejujuran daripada segelintir pemimpin politik boleh dipertikaikan apabila sentimen perkauman menjadi “mainan” mereka terutamanya oleh parti yang berasaskan etnik. Cerminan wajah perpaduan yang menjadi dambaan 66 tahun kemerdekaan sedikit sebanyak tercalar akibat tercetusnya sentimen etnosentrisme ini. Oleh itu, wajah perpaduan yang bagaimanakah harus melakari usia 66 tahun kemerdekaan negara terutamanya apabila melibatkan rakyat pelbagai kaum di Malaysia?

Cetusan buah fikiran bagi pembentukan wajah perpaduan ini berlaku semasa penulis menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Jurulapor dalam “Wacana Perpaduan: Mendepani Defisit Sosial” yang dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara pada 4 Julai 2023 lalu. Penulis amat tertarik dengan perbincangan bahawa perlunya satu kefahaman yang sama antara pihak kerajaan dengan rakyat sendiri berkenaan wajah perpaduan yang menjadi dambaan negara. Bertitik tolak daripada hasil perbincangan wacana tersebut, penulis menyerahkan satu resolusi yang antaranya termasuklah mengutarakan kriteria-kriteria yang boleh melakarkan satu wajah perpaduan untuk digarap dan dipegang oleh semua rakyat Malaysia.

Asas utama bagi lakaran awal wajah perpaduan ialah pemupukan satu semangat kekitaan yang dikenal pasti sebagai semangat kekitaan kebangsaan. Semangat ini harus menjangkaui semangat keetnikan yang boleh membawa kepada masalah etnosentrisme. Ibnu Khaldun selaku sarjana sosiologi Islam telah membincangkan kepentingan kekuatan semangat kekitaan (diistilahkan sebagai asabiyyah) sebagai faktor penting dalam menentukan kelangsungan sesebuah tamadun. Menurut Ibnu Khaldun, faktor jatuh bangunnya sesebuah tamadun bergantung pada sejauh mana kekuatan semangat kekitaan yang dimiliki oleh rakyat waima pemimpin sendiri. Malahan, perbincangan beliau telah diiktiraf oleh sarjana barat terkemuka, antaranya termasuklah Arnold J. Toynbee dan George Sarton, sebagai hasil kerja yang bermutu, relevan dan dapat diterjemahkan untuk hampir keseluruhan tamadun yang terbina. Ciri-ciri semangat kekitaan yang dibicarakan oleh Ibnu Khaldun merangkumi sikap saling sayang-menyayangi, bantu-membantu, hormat-menghormati, berani untuk berjuang demi masyarakat dan negara serta berani mengajukan tuntutan untuk kesenangan bersama-sama. Karakter pemimpin yang disegani turut dibincangkan oleh Ibnu Khaldun sebagai mekanisme dalam mewujudkan sikap taat setia rakyat terhadap kepimpinan, norma dan budaya masyarakat.

Oleh hal yang demikian, semangat kekitaan kebangsaan yang menjadi lakaran asas wajah perpaduan perlu dicirikan dengan nilai kemanusiaan, iaitu sikap saling sayang-menyayangi, sanggup berkorban dan berjuang, bantu-membantu serta hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa mengira kaum dan agama. Selain itu, semangat kekitaan kebangsaan ini perlu disematkan dengan rasa kecintaan dan kesetiaan serta keberanian dalam menjaga keharmonian tanah air melalui curahan tenaga, masa dan gagasan pemikiran. Kejituan semangat kebangsaan berhasil mencetuskan sikap saling mempercayai antara pelbagai etnik. Sebagai contoh, kepercayaan antara satu sama lain ini akan wujud dalam kerangka sebagai anak watan yang dapat berganding bahu dalam membina peradaban Malaysia yang unik dan tersendiri. Agenda tersembunyi atau keuntungan peribadi tidak seharusnya wujud dalam diri setiap warganegara dalam kerangka pembentukan nilai kepercayaan ini kerana semangat memajukan negara perlulah lahir daripada hati yang ikhlas agar kita memperoleh kepercayaan daripada orang lain secara semula jadi.

Bahkan, kekuatan semangat kekitaan ini boleh membawa kepada tujuan dan matlamat yang sama dalam membangunkan dan mempertahankan ketamadunan negara. Sebagaimana yang ditekankan oleh Ibnu Khaldun, para pemimpin merupakan individu terawal yang perlu memiliki kekuatan dalam menyemarakkan semangat kekitaan. Hal ini demikian kerana susuk inilah yang sering kali menjadi bukti kejatuhan kebanyakan sejarah tamadun yang pernah wujud sebelum ini.

Kes penyelewengan, penindasan, rasuah dan salah guna kuasa terjadi akibat lunturnya semangat kekitaan oleh segelintir para pemimpin. Sekiranya rakyat berasa tertindas dan tertekan oleh tindak- tanduk rakus pemimpin, maka semangat kekitaan yang dimiliki oleh rakyat akan turut luntur dengan mudahnya. Oleh itu, kekuatan semangat kekitaan harus tersemai dan subur dalam sanubari pemimpin, sekaligus dengan sendirinya bercambah dalam kalangan rakyat sebagai lakaran asas dalam wajah perpaduan negara.

Wajah perpaduan seterusnya harus dilakari oleh pengukuhan identiti nasional. Kriteria utama sebagai identiti nasional rakyat Malaysia adalah dengan mendukung ikrar Rukun Negara. Lima prinsip yang diikrarkan dalam Rukun Negara bertujuan untuk mengikat perpaduan. Rukun Negara dicitrakan sebagai tanggungjawab dan peranan individu yang berstatus warganegara Malaysia. Lima prinsip Rukun Negara dimulai dengan pemilikan sistem kepercayaan, iaitu mempercayai adanya Tuhan dan agama sebagai landasan hidup dalam bertingkah laku, disusuli oleh kesetiaan dan rasa hormat terhadap sistem beraja dan sayang akan negara, diikuti dengan meluhuri segala yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai pasak keharmonian, seterusnya mendaulatkan undang-undang sebagai sistem aturan negara dan diakhiri dengan memiliki sifat sopan dan tatasusila yang menonjolkan keperibadian unik warganegara Malaysia berbanding dengan warganegara lain.

Selain itu, identiti nasional boleh terpamer melalui simbol kerakyatan seperti bahasa kebangsaan, Jalur Gemilang, lagu Negaraku dan jata negara yang perlu diangkat dan dihormati secara semula jadi tanpa paksaan. Dasar kebangsaan seperti Dasar Perpaduan, Dasar Pendidikan, Dasar Kebudayaan dan Dasar Bahasa Kebangsaan perlu diketahui, difahami dan dihayati bersama-sama bagi memastikan bahawa dasar-dasar ini terlaksana dengan baik dan jayanya tanpa polemik dan keraguan yang mengganggu proses pelaksanaannya. Dasar-dasar yang menjadi tunjang perpaduan kaum ini sebenarnya cukup lengkap dan mampu menyatukan kaum yang pelbagai. Walau bagaimanapun, pelaksanaannya kadang kala terganggu dan tidak seiring dengan matlamat yang digariskan, seterusnya menyebabkan dasar-dasar ini sering dipertikai oleh sesetengah pihak. Sehubungan dengan itu, pelaksanaan dasar-dasar ini perlu selari dan tidak dipolitikkan agar matlamat dasar tercapai seperti yang dihasratkan.

Wajah perpaduan juga perlu dilakarkan dengan sikap meluhurkan Perlembagaan Persekutuan. Setiap individu yang bergelar warganegara Malaysia perlu meyakini bahawa Perlembagaan Persekutuan ialah tapak integrasi bagi kepelbagaian kaum yang ada. Kontrak sosial yang disulam oleh inti pati Malaysia telah dirangka, diperhalusi, diterima dan dipaterikan sebagai asas pembentukan perlembagaan. Empat unsur tradisi yang terkandung dalam kontrak sosial, iaitu mengenai kedaulatan raja, agama Persekutuan, bahasa kebangsaan dan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera perlu diterima dan dihormati kerana perkara-perkara tersebut tidak semata-mata memihak pada satu kaum sahaja, sebaliknya wujudnya pertimbangan dalam memberikan tempat dan kedudukan bagi kaum lain dalam perlembagaan. Kefahaman yang bersifat glokal adalah perlu agar keharmonian yang berpaksikan Perlembagaan Persekutuan terbina dengan mudah. Oleh itu, jiwa merdeka rakyat Malaysia seharusnya berpaksi pada keluhuran perlembagaan yang terkandung neraca pertimbangan yang saling menerima dan melengkapi keperluan semua etnik yang ada bagi menjamin perpaduan yang lebih jitu.

Dalam mendepani usia 66 tahun kemerdekaan negara, masih belum terlewat untuk kita mewujudkan sebuah wajah perpaduan standard yang dilakar dengan penuh teliti. Lakaran wajah perpaduan ini perlu dilaksanakan pada peringkat penggubal dasar, kemudiannya dipromosikan dan perlu dipastikan bahawa perkara tersebut mampu mengakar dalam hati segenap lapisan masyarakat, yakni bermula daripada barisan kepimpinan, ahli politik dan seterusnya dijiwai oleh rakyat jelata. Maka, istilah wajah perpaduan bukan sekadar retorik tanpa makna, sebaliknya merupakan kriteria jelas yang dapat difahami, dihayati dan dipraktikkan oleh setiap individu yang bergelar warganegara Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.