Oleh Suyuthi Yusuf
4 September 2023, 12:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek bersama-sama Pengerusi Lembaga Pengelola DBP ke-12, SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan (kiri) dan Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari.

Putrajaya – Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek mengumumkan pelantikan Sasterawan Negara (SN), YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-12, pada pagi ini bertempat di pejabat Menteri Pendidikan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Majlis penyerahan surat pelantikan tersebut yang berlangsung di KPM  turut dihadiri oleh YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP. Pelantikan SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan ini adalah bagi menggantikan YB Senator Datuk Seri Prof. Dr. Haji Awang Sariyan.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek menyerahkan surat pelantikan kepada Pengerusi Lembaga Pengelola DBP ke-12, SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, pada pagi tadi.

Pelantikan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang berkuat kuasa pada 1 Ogos 2023 dianggap sebagai “sirih pulang ke gagang” kerana beliau merupakan mantan pihak pengurusan DBP dan pernah berkhidmat dengan DBP selama hampir 30 tahun.  Keakraban beliau dengan DBP bukan setakat itu kerana beliau terlibat secara langsung dalam dunia penerbitan, kepengarangan, bahasa dan sastera yang menjadi tunjang utama peranan DBP. Beliau merupakan Sasterawan Negara pertama yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Menurut Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, pelantikan SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan tersebut diharapkan dapat meningkatkan lagi citra DBP dalam mengangkat bahasa dan sastera terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, pula menjelaskan bahawa pelantikan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP membawa makna yang sangat besar bukan sahaja kepada DBP tetapi kepada dunia ilmu terutamanya dalam bidang bahasa, sastera dan penerbitan.

Kami warga DBP mengucapkan tahniah kepada SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan atas pelantikannya sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP. Kami percaya bahawa SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan akan menjadi inspirasi dan pemangkin kepada DBP untuk meneruskan kecemerlangan organisasi ini dalam usaha memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu demi pembangunan tamadun bangsa.

SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP ke-12.

SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dilahirkan pada 5 Ogos 1949 di Sungai Besar, Selangor. Beliau menerima pendidikan di Sekolah Kebangsaan Sungai Besar (1956–1962), Sekolah Ungku Aziz, Sabak Bernam (1963–1967) dan Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur (1968– 1969).

Pada tahun 1970, beliau diterima masuk ke Universiti Malaya dan belajar di Jabatan Pengajian Melayu. Semasa menuntut di Universiti Malaya, beliau turut mengasaskan Ikatan Sastera Universiti Malaya (ISUM) dan pernah menyertai program lawatan sambil belajar ke Indonesia, Hong Kong dan Thailand.

SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan berkesempatan memberikan karya terbaharunya, Rumah Septuagenarian Kumpulan 7 Drama Pentas kepada YB Fadhlina Sidek.

Seterusnya, beliau bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Sastera pada tahun 1973 di DBP. Beliau pernah menjadi anggota sidang editor majalah Dewan Bahasa, Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Beliau juga berkesempatan mengikuti kursus penerbitan buku di New York University selain berpeluang mengikuti International Writing Program di Universiti Iowa, Amerika Syarikat pada tahun 1986.

Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Profesor Pelawat di Tokyo University of Foreign Studies mulai tahun 1997 hingga tahun 2000. Beliau menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur, pada tahun 1998. Pada tahun 2001, beliau dilantik sebagai Pengarah Penerbitan, DBP.

SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan ketika berkhidmat sebagai Pengarah Penerbitan, DBP.

Dalam bukunya yang bertajuk Menyurat kepada Sahabat: Warkah-warkah Peribadi 19752002, beliau menulis:

Tempoh 1975–2002 merupakan era umur terbaik saya bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, aktif dalam persatuan penulis, giat menghasilkan karya kreatif dan non-kreatif…

Anwar mempunyai latar belakang kegiatan sastera dan bahasa yang agak luas. Dari tahun 1974 hingga tahun 1976, beliau pernah menjadi Setiausaha Satu GAPENA; Pengarah “Pertemuan Sasterawan Nusantara III” yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 5 hingga 6 Disember 1981 dan Setiausaha “Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu IV” yang diadakan di Kuala Lumpur dari 7 hingga 10 Disember 1984.

Pada tahun 2002, beliau mendapat pengiktirafan sebagai penerima hadiah S.E.A. Write Award dan seterusnya pada tahun 2009, beliau menerima Anugerah Sastera Negara (SN) daripada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Antara karya SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan ialah novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979), Arus (1985), dan Naratif Ogonshoto (2001).

Dunia kepengarangan beliau sangat luas dan meliputi pelbagai genre seperti novel, cerpen, puisi, drama, dan esei kritikan. SN Muhammad Haji Salleh (2019) ketika mengupas cakerawala kepengarannya menyebutkan bahawa:

Sebagai pengarang, Anwar Ridhwan selalu mencari dan mencari melalui waktu, tahap hidup dan ruang geografi yang berlainan. Dalam gaya dan naratifnya, beliau sering berdiri di depan anak tangga yang memanjat ke atas, ke arah kelainan dan ke arah dunia yang masih belum dikenali atau diperikan.

Antara novelnya yang terkenal termasuklah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979) yang pernah diadaptasi ke layar televisyen dan novel Naratif Ogonshoto (2001) yang pernah dianggap oleh seorang daripada pengkritik sastera tempatan sebagai “sebuah teks sastera Melayu yang luar biasa”.

Buku Pemikiran Sasterawan Negara Anwar Ridhwan (2019) yang mengetengahkan ketokohan dan kepengarangan beliau dalam dunia karang-mengarang.

Selain itu, antara kumpulan cerpen beliau yang pernah diterbitkan termasuklah Parasit (1976), Sesudah Perang (1978), Sangkar (1986), Dunia adalah Sebuah Apartment (2005), Jika Esok Tiba (2012) dan Satu Tiga Sifir Lima (2012). Kumpulan puisi yang dihasilkan oleh beliau pula antaranya termasuklah Tercipta dari Tanah (1985) dan Tercipta dari Tanya (2013).

Antara buku kumpulan cerpen hasil nukilan SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan termasuklah Parasit (1976), Sesudah Perang (1978), Sangkar (1986), Dunia adalah Sebuah Apartment (2005), Jika Esok Tiba (2012) dan Satu Tiga Sifir Lima (2019).

SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan juga berkarya dalam genre drama dan pernah menjadi pengarah drama pentas. Antara drama pentas yang pernah diarahkan oleh beliau termasuklah Penghuni Paya (The Swamp Dwellers), Pulang dan Yang Menjelma dan Menghilang. Buku kumpulan drama terbaharu beliau ialah Rumah Septuagenarian Kumpulan 7 Drama Pentas (2023).

Buku kumpulan puisi karya SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, iaitu Tercipta dari Tanah (1985) dan Tercipta dari Tanya (2013).
Yang Menjelma dan Menghilang merupakan buku kumpulan drama karya SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.
Karya terbaharu SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan ialah Rumah Septuagenarian Kumpulan 7 Drama Pentas (2023) .

Selain aktif berkarya, beliau juga sering menulis esei kritikan sastera dan esei umum seputar hal-hal yang bersangkut paut dengan kesusasteraan, kebudayaan, seni, teknologi, dan politik. Antara buku kritikan sastera dan esei beliau termasuklah Sudut Pandangan dalam Cereka (1985), Jati Diri Pasca Asas 50 (1996), Ahmad Kotot: Penulis Novel Hikayat (2006) dan Potpuri: Budaya, Sastera & Seni (2016). Selain itu, beliau juga pernah menulis memoir tentang kehidupannya yang bertajuk Anwar Ridhwan Cerita Saya Memoir sehingga Tahun Tragedi 13 Mei 1969.

Buku kritikan sastera dan gagasan SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, iaitu Sudut Pandangan dalam Cereka (1985), Jati Diri Pasca Asas 50 (1996) dan Ahmad Kotot: Penulis Novel Hikayat (2006).

 

Buku kumpulan esei beliau sebanyak tiga jilid bertajuk Potpuri: Budaya, Sastera & Seni (2016).

 

Buku memoir beliau yang diterbitkan bertajuk Anwar Ridhwan Cerita Saya Memoir sehingga Tahun Tragedi 13 Mei 1969.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.