17 September 2023, 21:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Marudu – Program Puisi Adalah… bersempena dengan sambutan Hari Malaysia dilaksanakan pada 16 September 2023 oleh Pejabat ADUN N.05 Matunggong, dengan kerjasama Kawasan Rumah Tetangga (KRT) Empat Sahabat dan Ikatan Penulis Sabah (IPS).

Encik Epson Kawahui, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kawasan DUN N.05 Matunggong memberikan ucapan perasmian.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Encik Epson Kawahui, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kawasan DUN N.05 Matunggong, mewakili YB Datuk Julita Mojungki, Pembantu Menteri Kewangan 1, Negeri Sabah dan Ahli Dewan Undangan Negeri, N.05 Matunggong.

Program ini turut dihadiri oleh Encik Amat Ali Omar, Pengerusi, KRT Empat Sahabat Kota Marudu, Ustaz Awang Abdul Muizz Awang Marusin, Ketua Satu, IPS, Ts. Sudirman Hammade, Pengarah, Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu (ILPKK) dan Hasyuda Abadi, penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah (ASNS) ketiga.

Hasyuda Abadi, penerima ASNS ketiga.

Program ini dinamakan Puisi Adalah… kerana sesiapa sahaja boleh membuat interpretasi makna puisi.

Demikianlah yang diucapkan oleh penerima ASNS ketiga, Hasyuda Abadi selepas mendeklamasikan sebuah puisi berjudul Bicara Buat Rakyat.

Program Puisi Adalah… turut mengadakan pameran dan jualan, antaranya dari Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.

Antara kegiatan yang dilaksanakan termasuklah Program Derma Darah dan Pemeriksaan Kesihatan oleh Hospital Kota Marudu dan Pameran Robotik oleh Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu (ILPKK). Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah turut mengadakan pameran dan jualan bagi memeriahkan program tersebut.

Utara Sabah merangkumi Kudat, Kota Marudu, Pitas dan Kota Belud pernah menjadi lubuk penyair tempatan suatu ketika dahulu dan pelaksanaan program ini adalah bertujuan untuk memartabatkan dan mengangkat sastera tempatan, sekali gus meningkatkan semangat patriotisme.

Peranan semua institusi yang terlibat dalam menjayakan program ini amatlah penting kerana semua pihak perlu menggalas tanggungjawab masing-masing untuk mengukuhkan perpaduan masyarakat setempat, seterusnya merealisasikan tema kemerdekaan pada tahun ini, iaitu Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.

Sambutan yang positif dapat dilihat dengan pelibatan penduduk setempat dan pelbagai pihak dalam menjayakan usaha sama ini. Program ini mencerminkan keprihatinan masyarakat Sabah, terutamanya KRT dalam menyemarakkan rasa cinta akan negara, seterusnya memartabatkan bahasa dan sastera Melayu.

Diharapkan program ini mampu menjadi medium kepada masyarakat untuk meluahkan rasa cinta akan negara, bukan sahaja pada Hari Malaysia, namun pada hari-hari biasa terutamanya dalam negara yang berbilang bangsa dan kaum.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.