Oleh Hafizul Osman
19 September 2023, 19:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jika disebut Pestabola Merdeka, tentunya tidak ramai peminat bola sepak era baharu ini mengenalinya sebagai antara kejohanan jemputan bola sepak yang tertua dan berprestij di Asia ini. Kejohanan ini menarik minat pasukan kebangsaan dan kelab dari seluruh dunia untuk menyertai dan bersaing bagi merebut kejuaraan.

 

Pasukan gergasi Asia, Jepun dan Korea Selatan serta beberapa buah kelab terkemuka dunia seperti Hamburg SV dari Jerman dan Sao Paolo dari Brazil turut menghantar penyertaan mereka bagi menyertai kejohanan ini. Pendek kata, dahulunya prestij kejohanan ini setanding dengan kejohanan jemputan bola sepak popular di Asia yang lain seperti Piala Raja Thai oleh Thailand dan Piala Kirin yang dianjurkan oleh Jepun.

Piala yang bakal menjadi rebutan oleh seluruh pasukan yang bertanding.

Pestabola Merdeka merupakan cetusan idea oleh Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang pada ketika itu memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Kejohanan ini diadakan bagi meraikan sambutan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, iaitu pada tahun 1957. Stadium Merdeka menjadi gelanggang kepada kejohanan yang julung kali dianjurkan itu selama seminggu. Sebanyak lapan pasukan telah menyertai kejohanan ini, iaitu Malaysia (ketika itu dikenali sebagai Malaya), Hong Kong League XI, Kemboja, Singapura, Indonesia, Burma (Myanmar sekarang), Thailand dan Vietnam Selatan.

Malaysia yang diketuai oleh Raja Bola, Abdul Ghani Minhat pada ketika itu gagal memenangi kejohanan edisi pertama ini. Pasukan Hong Kong League XI berjaya merangkul kejuaraan dan menjadi juara pertama Pesta Bola Merdeka.

Pestabola Merdeka terus dilangsungkan setiap tahun selepas itu hingga tahun 1988. Kemudian, kejohanan ini dilangsungkan semula pada tahun 1991 setelah dua tahun tidak dilangsungkan. Selepas tahun 1991, kejohanan ini tetap dilangsungkan, namun tidak lagi secara tahunan seperti sebelum tahun 1988. Ada beberapa kali kejohanan ini tidak dilangsungkan atas beberapa faktor seperti kekangan kewangan, masa dan juga prestasi semasa pasukan kebangsaan yang semakin merosot selepas isu skandal rasuah yang melanda bola sepak negara sekitar tahun 90-an.

Kali terakhir kejohanan ini diadakan adalah pada tahun 2013 yang dilangsungkan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang. Sebanyak empat pasukan yang menyertai kejohanan dengan majoritinya ialah pasukan bawah 23 tahun. Pasukan Malaysia, Myanmar dan Singapura menghantar pasukan bawah 23 tahun mereka sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA ke-27 yang dilangsungkan di Myanmar pada tahun itu. Hanya Thailand yang menghantar pasukan campuran bagi menghadapi kejohanan itu.

Pasukan bawah 23 tahun Malaysia berjaya memenangi kejohanan pada tahun 2013 lalu setelah menewaskan pasukan bawah 23 tahun Myanmar dalam aksi perlawanan akhir dengan jaringan 2-0.

Sepanjang penganjuran Pestabola Merdeka, pasukan Malaysia telah berjaya memenangi 10 kejuaraan, diikuti oleh pasukan Korea Selatan dengan tujuh kejuaraan. Kedua-dua pasukan ini pernah dinobatkan sebagai juara bersama dalam edisi tahun 1960.

Selain stadium keramat, Stadium Merdeka dan Stadium Darul Makmur, stadium lain seperti Stadium Nasional, Bukit Jalil; Stadium Shah Alam dan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pernah menjadi gelanggang bagi kejohanan tersebut.

Logo Pestabola Merdeka

Pestabola Merdeka bakal memasuki edisi ke-42 pada tahun 2023. Setelah 10 tahun tidak dianjurkan, kejohanan ini kembali semula dan akan diadakan pada 13 dan 17 Oktober kelak. Sebanyak empat pasukan akan menyertai kejohanan kali ini, iaitu Malaysia, India, Palestin dan Tajikistan. Kejohanan kali ini akan dilangsungkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan dilangsungkan secara pusingan kalah mati.

Pasukan Malaysia yang dikendalikan oleh jurulatih dari Korea Selatan, iaitu Kim Pan-gon akan mengambil kesempatan kejohanan ini sebagai medan persiapan bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang bakal bermula pada bulan November 2023 kelak dan juga persiapan ke kejohanan Piala Asia AFC 2024 yang akan dilangsungkan di Qatar pada bulan Januari 2024. Dalam kejohanan Pestabola Merdeka ini, pasukan Malaysia telah diundi untuk bertemu dengan India. Jika menang, pasukan Malaysia akan bertemu pemenang pertemuan antara Palestin dengan Tajikistan dalam perlawanan akhir nanti.

Pestabola Merdeka menjadi medan bagi melahirkan nama-nama besar bola sepak negara. Dalam kejohanan inilah legenda bola sepak seperti Abdul Ghani Minhat, Mokhtar Dahari, Soh Chin Ann, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Azman Adnan dan juga Safee Sali menempa nama. Mereka merupakan antara legenda bola sepak negara yang banyak memberikan sumbangan kepada kegemilangan bola sepak Malaysia dari dahulu hingga sekarang. Pasukan Malaysia pernah menjadi saingan terkuat pasukan yang mendapat gelaran “Pahlawan Taegeuk”, iaitu Korea Selatan dalam kejohanan ini sebelum perlahan-lahan pasukan Korea Selatan jauh meninggalkan pasukan Malaysia.

Diharapkan Pestabola Merdeka akan terus dianjurkan lagi pada tahun yang mendatang sebagai medan untuk pasukan Malaysia ataupun dikenali juga sebagai Harimau Malaya untuk terus mengasah taringnya.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.