Oleh Abd Razak Osman
20 September 2023, 08:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pertandingan Forum Semarakkan Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2023 anjuran Jabatan Pengajian Melayu IPG Tuanku Bainun dengan kerjasama DBP Wilayah Utara berlangsung di Dewan Aminuddin Baki, IPG Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.

Bukit Mertajam – Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman (IPGKDA) Jitra, Kedah menjadi juara dalam Pertandingan Forum Semarakkan Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2023 yang berlangsung di Dewan Aminuddin Baki, Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK) Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.

Pertandingan ini merupakan anjuran Jabatan Pengajian Melayu IPGK Tuanku Bainun dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara.

Forum diadakan bertujuan membincangkan perkembangan suasana serta hala tuju kurikulum di Malaysia dengan penggunaan bahasa Melayu baku dalam kalangan pelajar pelbagai kaum di IPG, Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Prauniversiti agar dapat mewujudkan satu model penggunaan bahasa Melayu baku.

Bahasa Melayu baku bermaksud bahasa yang sempurna daripada segi penggunaan tatabahasa, sebutan dan keseluruhannya.

Ketua Jabatan Pengajian Melayu IPGK Tuanku Bainun, Johari Harun berkata, pihaknya gembira kerana dipilih sebagai tuan rumah. Forum ini melibatkan pelajar daripada pelbagai kaum dalam setiap pasukan forum dan peserta didapati mempunyai idea menarik dalam menjayakan perpaduan negara.

Menurutnya, pusingan awal pertandingan tersebut melibatkan 20 penyertaan yang dijalankan secara dalam talian pada 1 Ogos 2023 hingga 8 September 2023 lalu.

IPGKDA Jitra, Kedah merangkul johan dalam Pertandingan Forum Semarakkan Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2023.

Empat pelajar IPGKDA diketuai oleh Mohamad Khairul Anwar Samsudin bersama-sama ahli pasukannya Abdullah Kamarudin, Majdah Monawwarah Mohd Radzi dan El Huzaifah Ash Shukri menerima hadiah sebanyak RM3000 setelah memenangi tempat pertama. Penyampaian hadiah disampaikan oleh Pengarah DBP Wilayah Utara, Armin Azhari Saleh.

Tempat kedua menerima hadiah sebanyak RM2000, yang dimenangi oleh IPGK Tuanku Bainun, Bukit Mertajam dengan melibatkan empat pelajarnya, Danushan a/l Sivarajah, Joyce Ki Gee Ger Ling, Ahmad Danial Ahmad Asri dan Norhaslinda Hussein.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh IPGK Datuk Razali Ismail, Terangganu dengan menerima hadiah sebanyak RM1000, melibatkan peserta, Zetty Norashima Mohd Norhizam, Nur Alia Shamimi Abdullah, Nur Aliaa Maisarah Abdul Rahman dan Suci Alyaa Nabihah Mohd Afizan.

Hakim pertandingan terdiri, Puan Aniza Zakaria dari Kedah, Dr. Noraniza Mohd Nor dari Terangganu, Puan Nurliyana Mohamad Saad dari Pulau Pinang, Norisham Mohd Noor dari Pulau Pinang dan Rohiza Abdul Wahab dari Perak.

Pengarah IPGK Tuanku Bainun, YBrs. Kolonel Bersekutu (PA) Mohd Saat Abas turut berucap dan melakukan upacara penutup pertandingan itu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.