25 September 2023, 08:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Era pascpandemik yang melanda negara pada tahun 2020 menyaksikan penerimaan yang lebih meluas dan pesat dalam mengadaptasi pendigitalan di kebanyakan sektor dalam negara. Kemunculan pelbagai platform digital dilihat bukan sahaja membuka banyak peluang dalam menambahbaik perkhidmatan dalam negara, malahan turut memberikan impak dalam mentransformasikan setiap sektor ke arah yang lebih inovatif. Pendidikan dilihat sebagai antara sektor yang bertepatan dengan waktunya untuk mengadaptasi pendigitalan melalui pendidikan anjal, iaitu penggabungan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian (PdPdT) dan secara bersemuka. Pendidikan anjal dilihat dapat memberikan peluang kepada generasi akan datang untuk terus berdaya saing seiring dengan perkembangan global, selain mampu memberikan impak yang signifikan dari aspek pengurangan kos pengajian.

Secara asasnya, pendidikan anjal dilihat sebagai satu daripada kaedah pembelajaran yang memerlukan mahasiswa hadir ke kuliah di kampus untuk beberapa semester terpilih sahaja, manakala bagi semester yang berbaki pula, kuliah boleh dijalankan secara dalam talian. Kaedah pendidikan anjal ini dapat memberikan fleksibiliti kepada pelajar untuk menyusun aktiviti pembelajaran mengikut kesesuaian masa mereka. Ternyata kelebihan kaedah ini berjaya mendapat perhatian kerajaan apabila Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Menteri Pengajian Tinggi turut mengumumkan bahawa pelaksanaan kaedah hibrid dan jadual waktu anjal ini akan dilaksanakan di universiti awam.

Selain bertujuan untuk meningkatkan kualiti proses pembelajaran serta memperkasakan pembelajaran fleksibel, kaedah ini turut mampu mengurangkan jumlah kos pinjaman pendidikan dalam kalangan mahasiswa. Dalam masa yang sama, kaedah ini dilihat berupaya mengurangkan kos sara hidup pelajar, terutamanya dalam kalangan mahasiswa yang belajar di universiti yang lokasinya di kawasan bandar dan memerlukan mereka untuk menyewa rumah di luar daripada kawasan kampus. Sebilangan mahasiswa turut berpendapat, capaian Internet di kawasan kediaman kampus yang terlalu lemah mengakibatkan mereka cenderung untuk memilih menyewa di luar kampus. Namun begitu, apabila pelajar menyewa di luar, mereka perlukan menangung kos untuk pemasangan Internet di rumah sewa tersebut.

Beliau turut menambah, kaedah ini dilihat sebagai satu peluang kepada mahasiswa yang bekerja untuk terus menjalani proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian tanpa perlu berada di kampus sepanjang masa. Secara tidak langsung, pelajar bebas menyusun jadual aktiviti seharian dengan lebih fleksibel mengikut masa dan komitmen masing-masing dan dalam masa yang sama mengaplikasikan pembelajaran secara kendiri. Kaedah ini juga dilihat mampu mengurangkan permasalahan berkaitan dengan ketidakcukupan penginapan dalam kalangan mahasiswa. Ditambah pula dengan isu keselamatan yang sering membabitkan mahasiswa terutamanya dalam kalangan siswi yang kadangkala terpaksa menggunakan perkhidmatan awam untuk bergerak dari tempat penginapan ke kampus, dan sudah pastinya mereka terdedah dengan risiko keselamatan. Namun begitu, persoalannya mampukah kaedah ini mengekalkan kualiti graduan serta mengukuhkan kebolehpasaran graduan sebelum mereka memasuki pasaran kerja yang kompetitif nanti?

Laporan akhbar menunjukkan bahawa hampir 51 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menolak tawaran kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini. Manakala satu kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Undian (UCSI) turut melaporkan bahawa hanya separuh daripada pelajar lepasan SPM yang berminat untuk menyambung pengajian, manakala hampir 39 peratus pelajar memilih untuk terus mencari pekerjaan dan 10 peratus daripada mereka pula tidak mempunyai apa-apa perancangan. Sebilangannya turut berpandangan bahawa tempoh masa yang diperuntukkan untuk peringkat pengajian tinggi adalah terlalu lama dan menelan kos yang tinggi, hal ini telah mengakibatkan mereka enggan meneruskan pengajian. Ternyata perkara ini merupakan sesuatu yang membimbangkan apatah lagi perkara tersebut akan memberikan kesan yang besar terhadap sumber manusia negara yang menyasarkan pencapaian 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor ekonomi menjelang tahun 2030. Oleh itu, inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi dilihat sangat membantu dalam usaha untuk menarik perhatian lebih ramai pelajar menyambung pengajian pada peringkat pengajian tinggi.

Kontradiksinya, di sebalik pelbagai manfaat daripada jadual anjal tersebut, hal ini tidak sunyi daripada mudarat yang bersifat langsung mahupun tidak langsung, khususnya yang berasal daripada komponen PdPDT dalam sistem tersebut.  Antara implikasi buruk PdPDT yang membimbangkan adalah seperti yang digariskan oleh satu kajian yang diterbitkan dalam The British Journal of Educational Psychology – mendapati pelajar yang mengikuti PdPDT mempunyai kadar tumpuan dan penghayatan yang lebih rendah berbanding dengan kaedah konvensional. Natijahnya, pelajar akan berasa kurang keyakinan dengan kebolehan mereka mempelajari sesuatu lantas memberikan impak negatif terhadap perasaan harga diri mereka secara keseluruhan.

Keadaan ini boleh diburukkan lagi sekiranya tenaga pengajar tidak mempunyai kemahiran penggunaan teknologi pada tahap yang memuaskan, khususnya bagi pengajar kursus-kursus seperti matematik dan sains yang memerlukan lebih daripada sekadar bercakap untuk menerangkan sesuatu tajuk. Pada hakikatnya, walaupun para pengajar telah “dipaksa” untuk mengajar menggunakan kaedah PdPDT sewaktu pandemik COVID-19 melanda sejak tiga tahun lalu, namun masih terdapat ramai lagi pengajar yang gagal mengasah kemahiran menggunakan teknologi yang bersesuaian untuk membantu melancarkan proses PdPDT.

Selain itu, dapatan daripada kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik di Lingnan University di Hong Kong juga mendapati bahawa PdPdT memberikan kesan negatif terhadap kemahiran interpersonal pelajar, khususnya kemahiran berkomunikasi serta bekerjasama. Hal ini demikian kerana persekitaran dalam talian mempunyai beberapa batasan yang menjadikannya tidak setara seperti berkomunikasi dalam dimensi alam nyata seperti bahasa tubuh yang tidak kelihatan secara keseluruhan dan penzahiran emosi dalam interaksi maya yang terhad.

Keterbatasan yang sama juga boleh menyumbang kepada pembentukan sikap keakuan dan mementingkan diri. Apabila bahasa tubuh dan emosi gagal dicerap dengan baik, mahasiswa mungkin bersikap sambil lewa terhadap keseriusan sesuatu perkara khususnya apabila melibatkan kerja berkumpulan. Apatah lagi PdPDT memudahkan mahasiswa untuk mengelak daripada dihubungi secara terus oleh ahli kumpulan kerana lazimnya mereka tidak tinggal berdekatan antara satu sama lain.

Kajian yang sama juga mendapati bahawa PdPDT turut menyumbang kepada disiplin kendiri yang rendah, terutamanya bagi mereka yang memang mempunyai kecenderungan untuk bertangguh dan kurang motivasi. Masalah ini boleh diburukkan lagi dengan ketiadaan sistem sokongan yang baik di rumah ataupun pemantauan yang longgar oleh ahli keluarga yang membuatkan pelajar tersebut berasa selesa dengan sikap acuh tidak acuh terhadap pelajarannya. Perkara ini sedikit sebanyak menatijahkan kesan seterusnya, iaitu menipu dalam ujian atau peperiksaan.

Di samping permasalahan dari sudut sikap dan kemahiran yang dinyatakan di atas, PdPdT juga boleh menyumbang kepada masalah kesihatan fizikal seperti masalah keletihan mata dan telinga (hasil daripada pemakaian alat pendengaran seperti fon telinga), selain boleh menjejaskan kesihatan mental akibat tekanan yang lebih besar untuk menguruskan masa apabila berada di rumah. Pastinya perkara ini sedikit sebanyak akan menambahkan beban kos perbelanjaan kesihatan yang perlu ditanggung oleh kerajaan kelak.

Semua dampak negatif ini mempunyai kesan berangkai yang akan menjejaskan mutu siswazah yang dihasilkan oleh pusat pengajian tinggi, dan akhirnya akan menjejaskan kebolehpasaran mereka. Para majikan pasti tidak bersedia menerima pelajar yang lemah penguasaan terhadap bidang yang dipelajari, tidak mempunyai kemahiran interpersonal yang baik dan mempunyai masalah disiplin. Mereka juga mungkin gagal menyesuaikan diri dengan persekitaran yang nyata yang memerlukan mereka berhadapan secara fizikal dengan rakan sekerja, pelanggan dan penyelia mereka.

Kesan negatif PdPDT juga tidak terbatas kepada diri pelajar itu sendiri, tetapi turut menjejaskan ekonomi dalam kampus. Hal ini demikian kerana, apabila pelajar menjalani sesi PdPDT, hampir keseluruhan pelajar akan tinggal di rumah sendiri dan tidak akan menetap di kampus. Hal ini bererti jumlah pelajar yang berada di dalam kampus akan berkurangan dan pendapatan para peniaga kecil yang beroperasi dalam kampus akan terjejas akibat jumlah pelanggan yang semakin mengecil. Perkara ini pasti akan memberikan kesan terhadap limpahan ekonomi setempat yang lain.

Sebarang langkah susulan daripada pengumuman dasar oleh Menteri Pengajian Tinggi haruslah diteliti dan ditimbang dengan berhati-hati. Langkah melaksanakan PdPdT secara sebahagian daripada keseluruhan tempoh pengajian merupakan satu daripada tindakan yang tepat dan berhemah. Walau bagaimanapun, pelaksanaannya harus disusuli dengan satu kajian jangka sederhana dan panjang yang tuntas bagi memberikan gambaran menyeluruh terhadap kesan baik dan buruknya jadual anjal terhadap sistem pendidikan negara agar dasar tersebut dapat diperbaik dari semasa ke semasa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.