25 September 2023, 14:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Wanita merupakan antara tulang belakang kepada pembentukan sebuah keluarga dan masyarakat yang berwibawa dan intelektual. Wanita yang “bekerja sepenuh masa” sebagai seorang suri rumah merupakan antara tiang seri kepada sesebuah keluarga. Mereka merupakan antara tonggak utama dalam membesarkan anak-anak dan menjaga keperluan di rumah. Pengaruh wanita dalam pembentukan peribadi dan jati diri anak-anak dan keluarga yang berkualiti tidak boleh dipandang ringan kerana peranan yang dimainkan oleh mereka amat besar sebagai pendidik di rumah.

 

Dalam meniti arus kemodenan pada masa ini, kebanyakan wanita memilih untuk mengorak langkah lebih jauh pada peringkat pendidikan dan bidang kerjaya. Wanita kini tidak hanya memilih untuk berada di rumah sahaja. Aliran semasa atau trend seperti ini telah menjadi sambutan hangat dalam kalangan wanita. Kebanyakan wanita dalam lingkungan umur 20-an lebih cenderung untuk melanjutkan pelajaran selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bercita-cita untuk menyertai bidang pekerjaan yang mereka kehendaki. Selain itu, terdapat juga siswazah yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi iaitu, peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah.

 

Walau bagaimanapun, keadaan ini menimbulkan beberapa kerisauan dalam kalangan masyarakat. Antaranya termasuklah bilangan wanita yang menjadi suri rumah dan mendidik anak sepenuh masa di rumah semakin berkurangan, wanita juga akan lebih fokus kepada kerjaya dan tidak berhasrat untuk mendirikan rumah tangga. Terdapat sesetengah wanita yang menyatakan pendapat mereka melalui media sosial yang menyatakan bahawa kaum lelaki tidak digalakkan untuk mengahwini wanita yang berpendidikan tinggi dan berkerjaya kerana status mereka yang lebih tinggi dan keadaan tersebut boleh menjejaskan kestabilan dan keharmonian rumah tangga.

 

Persoalannya, adakah hak untuk wanita mendapatkan pendidikan yang lebih tinggi dan kerjaya yang stabil perlu dihalang? Wanita yang berpendidikan tinggi akan membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat seperti dapat memberikan pendidikan yang baik bermula daripada rumah kepada anak-anak dan ahli keluarga serta membantu kestabilan ekonomi isi rumah. Hal ini demikian kerana isteri yang berkerjaya dapat membantu suami menguruskan perbelanjaan isi rumah yang semakin meningkat pada masa ini. Wanita yang berkerjaya dan berpendidikan tinggi seharusnya dihargai oleh masyarakat sebagai satu daripada agen yang menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara, bidang pekerjaan, ekonomi isi rumah dan pendidikan di rumah.

 

Masyarakat dinasihatkan untuk memberikan sokongan penuh kepada ahli keluarga wanita yang ingin melanjutkan pelajaran dan menyertai bidang pekerjaan yang mereka kehendaki. Hal ini demikian kerana wanita yang berpendidikan dan berkerjaya dapat mengubah persepsi segelintir individu yang sering mengambil kesempatan terhadap kaum wanita dalam pelbagai sudut. Perkara ini bukanlah soal feminisme yang sering dibicarakan apabila hak pendidikan dan kerjaya wanita dibangkitkan oleh sesetengah pihak. Setiap individu berhak untuk menuntut ilmu dalam bidang yang mereka kehendaki dan bekerja di dalam bidang yang mereka mahukan.

 

Individu yang berilmu dapat melahirkan masyarakat yang tinggi tahap pemikirannya dan berkualiti adab dan perilakunya. Masyarakat seperti ini juga akan lebih menghargai ilmu yang terdapat dalam pelbagai bidang. Khairul Aming, seorang pempengaruh media sosial dan pengusaha perniagaan terkenal, sewaktu memenangi anugerah “Creator of the Year” di Anugerah TikTok Malaysia 2023, mengingatkan generasi muda agar menamatkan pelajaran terlebih dahulu agar dapat menjadi seorang pempengaruh media sosial yang berilmu, beradab dan dapat menyelesaikan masalah. Ucapan daripada Khairul Aming yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Vanderbilt, Tennessee, Amerika Syarikat, jelas menunjukkan bahawa inidividu yang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dapat melahirkan seorang pempengaruh media sosial yang berilmu dan beradab.

 

Dalam mengaplikasikan perkara tersebut, wanita yang berpendidikan dan berkerjaya akan dapat melahirkan individu yang berilmu dan beradab. Hal ini sekali gus akan memberikan kesan yang positif kepada masyarakat, keluarga, dan kualiti pekerjaan. Oleh itu, masyarakat perlulah menyokong golongan wanita yang ingin melanjutkan pelajaran sama ada pada peringkat sekolah mahupun universiti. Selain itu, golongan wanita yang menceburi bidang pekerjaan, sama ada mengusahakan perniagaan sendiri atau bekerja dalam bidang yang di pelajari di universiti, perlulah diberikan sokongan dan galakkan agar mereka tidak berputus asa dan sentiasa mempunyai impian untuk terus meningkatkan kualiti diri melalui pelajaran dan pekerjaan. Perkara ini juga selari dengan tema Sambutan Hari Wanita tahun 2023 yang menekankan bahawa wanita memainkan peranan yang besar dalam pelbagai sudut dan pelibatan wanita amat diperlukan dalam memastikan pembangunan negara terus bergerak dan meningkat maju.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.