Oleh Abd Razak Osman
28 September 2023, 15:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Alor Setar – Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima surat pemakluman pemberian peruntukan geran penyelidikan bagi menjalankan kajian berkaitan dengan kewajaran cadangan penggubalan akta pembelaan awam bagi kes jenayah di Malaysia daripada Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud.
Kajian yang dijalankan tersebut telah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Azalina Othman Said di Parlimen, pada sebelum ini.
Intan Syahrina Zainal Abidin (tiga kiri) menyerah surat lantikan untuk UUM melaksanakan kajian kepada Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan.
Surat lantikan dan pemakluman geran kajian itu disampaikan oleh Pengarah Seksyen Dasar Dan Penyelidikan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Puan Intan Syahrina Zainal Abidin kepada Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan semalam.
Menurut Intan Syahrina, surat penawaran kajian disampaikan itu adalah bertujuan untuk menghasilkan input dan memberikan cadangan kepada kerajaan tentang kewajaran sama ada terdapat keperluan serta parameter berkaitan dengan akta baharu tersebut.
Kajian tersebut diketuai oleh Prof Madya Dr Yusramizza Md Isa @ Yusuff yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Akta Pembelaan Awam yang telah dilantik oleh kerajaan.
Beliau juga merupakan Felo Penyelidik Asian Research Centre for Corporate Governance (ARICG) dan pensyarah Pusat Pengajian Undang-Undang, UUM.
Selain itu, penyelidik lain yang terlibat adalah terdiri daripada 18 penyelidik fakulti undang-undang dari lapan institut pengajian tinggi (IPT), termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Utara Malaysia (UUM); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Teknologi Mara (UITM); Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA); Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Multimedia (MMU) serta daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-undang dan Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Perdana Menteri.
Intan Syahrina berkata,
Selepas kajian dilaksanakan nanti pihaknya akan membuat perbandingan selain daripada  memilih model apakah yang sesuai dan dapat memberikan manfaat kepada rakyat serta negara.
Terdahulu Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan mengalu-alukan kunjungan mereka ke universiti itu dan berharap dengan kerjasama yang termeterai bakal menjadi nilai tambah kepada penyelidik di universiti nanti.
“Dengan peruntukan pengurusan kewangan diterima daripada geran ini diharapkan memudahkan proses penyelidikan yang akan dilakukan oleh kalangan pensyarah-pensyarah, BHEUU dan Jabatan Bantuan Guaman nanti,” ulas beliau.
Pada masa yang sama, beliau turut yakin bahawa perkara tersebut akan dapat diselesaikan dalam tempoh empat bulan setelah kerajaan baru-baru ini sedang meneliti keperluan untuk menggubal Akta Pembelaan Awam bagi perkhidmatan bantuan guaman membabitkan kes jenayah di negara ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail, Pengarah ARICG, Prof Dr Noor Afza Amran dan  Pengarah RIMC UUM, Prof Madya Dr Idayu Mamat.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.