4 Oktober 2023, 22:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Majlis Bacaan Yaasin Perdana di MADAD bersempena sambutan Jubli Intan Hari Pendaftaran Negara.

Sungai Petani – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menganjurkan 128 program di seluruh negara sepanjang bulan Oktober dengan kerjasama pelbagai pihak bersempena sambutan Hari Pendaftaran Negara (HPN) yang ke-75 tahun pada tahun ini.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Tuan Zamri Misman ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Hari Pendaftaran Negara.

Jabatan Pendaftaran Negara telah melaksanakan sambutan Hari Pendaftaran Negara pada 1 Oktober dan antara program awal yang diadakan, termasuklah bacaan Yasin Perdana pada hari ini.

Demikianlah ucapan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Tuan Zamri Misman dalam Majlis Bacaan Yasin Perdana bersempena dengan HPN di Murtadha Dakwah Centre (MADAD) baru-baru ini.

Menurut Tuan Zamri Misman, terdapat beberapa aktiviti yang dirancang bersempena dengan sambutan ini, seperti pelibatan JPN dalam teks khutbah solat Jumaat yang bertajuk “Memelihara Nasab” dengan kerjasama beberapa Jabatan Agama Islam Negeri, Program Sentuhan Kasih dengan kerjasama hospital kerajaan di setiap negeri bagi meraikan bayi yang dilahirkan pada 1 Oktober, dan beberapa slot khas bersama media perdana seperti radio dan televisyen serta program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) yang turun ke lapangan.

Tambah beliau,

JPN turut mengadakan Hari Bertemu Pelanggan di beberapa buah kompleks beli-belah bagi memberikan khidmat nasihat kepada orang ramai, di samping menganjurkan perkahwinan beramai-ramai bagi masyarakat bukan Islam, aktiviti kesukanan seperti acara larian, kayuhan basikal dan mendaki serta khidmat masyarakat seperti gotong-royong dan pembersihan.

Majlis Bacaan Yasin Perdana ini adalah hasil kerjasama JPN Negeri Kedah dengan MADAD bagi melancarkan Program MEKAR di MADAD selain daripada sambutan Jubli Intan HPN.

Selain daripada bacaan Yasin, majlis ini turut diisi dengan Forum Perdana bertajuk “Minal Mahdi Ila Lahdi” yang menampilkan Ketua Pengarah JPN, Tuan Zamri Misman dan Pengarah Urusan MADAD Mohd Yaakub Yusra Mohd. Yusoff selaku panel, manakala Pengasas Ahmad Perfume, Ustaz Ahmad Yusuf sebagai moderator.

Majlis berakhir dengan penyampaian sumbangan kepada MADAD oleh seluruh warga JPN dan penyerahan sumbangan daripada JPN Negeri Kedah, MADAD dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan kepada masyarakat sekitar golongan B40 dan ibu tunggal.

Antara agensi yang turut terlibat dalam menjayakan majlis ini, termasuklah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Unit Tabung Darah Hospital Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan Pasukan Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Petani yang menawarkan perkhidmatan agensi masing-masing.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.