Oleh Ely Muhamad
5 Oktober 2023, 07:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hangzhou – Tuah ternyata memihak kepada kuartet 4×100 meter (m) wanita negara apabila meraih pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou walaupun menamatkan aksi final di Stadium Olimpik Hangzhou semalam pada kedudukan keempat.

Pingat emas menjadi milik China menerusi catatan 43.49 saat (s), manakala kuartet Thailand memenangi pingat perak dengan masa 44.32 s.

Kejayaan itu hadir selepas penganjur membatalkan kemenangan tempat ketiga Bahrain disebabkan kesilapan pelari keduanya, Edidiong Ofonime Odiong menerima baton daripada Fatima Mubarak Isa di luar zon yang dibenarkan.

Pelanggaran peraturan itu membolehkan kuartet 4x100m wanita negara yang dibarisi Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisyia Mohammad Rizal dan Shereen Samson Vallabouy secara tidak langsung mendapat pingat gangsa.

Biarpun tidak memecahkan rekod kebangsaan apabila mencetak masa 45.01 s, namun tetapi pencapaian ini menjadi kejayaan manis buat kem olahraga kebangsaan kerana berjaya menamatkan penantian 57 tahun untuk menaiki podium acara itu.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat bagi acara 4 x 100 m wanita di Sukan Asia adalah melalui kejayaan kuartet Cheryl Dorall, Jacqueline Kleinman, Mary Rajamani dan Rajemah Sheikh Ahmad yang meraih gangsa edisi tahun 1966 di Bangkok, Thailand.

Walau bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi kuartet 4x100m lelaki negara diwakili Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Arsyad Md. Saat, Jonathan Nyepa dan Muhammad Azeem Mohd. Fahmi apabila penyertaan mereka dibatalkan semalam.

Kuartet lelaki dikatakan melakukan kesalahan TR17.3.1, iaitu pencerobohan lorong dan menyaksikan kedudukan kelima negara ketika ini diberikan kepada Indonesia.

Pingat emas bagi 4 x 100 m lelaki semalam dimenangi China menerusi catatan 38.29 s, diikuti oleh Jepun sebagai pemenang perak dengan masa 38.44 s, manakala gangsa dimenangi Korea Selatan yang mencatat 38.74 s.

Meskipun begitu, kontinjen olahraga dianggap cemerlang pada Sukan Asia Hangzhou menerusi kejayaan tiga pingat gangsa selepas terdahulu dimenangi Shereen dalam acara 400 m wanita dan Azeem untuk 100 m lelaki.

Jika Indeks Prestasi Utama (KPI) dinilai mengikut jumlah keseluruhan pingat tanpa mengira warna, hal ini merupakan pencapaian terbaik skuad olahraga negara menyamai edisi tahun 1978 di Bangkok yang ketika itu meraih satu pingat emas (Saik Oik Cum, 400 m wanita); satu perak (Vellasamy Subramaniam, 20 km jalan kaki lelaki) dan satu gangsa (Khoo Cong Beng, 20 km jalan kaki lelaki).

Pencapaian terbaik Malaysia dalam sukan olahraga di pentas Sukan Asia ialah lima emas, tiga perak dan empat gangsa menjadikan 12 pingat keseluruhan pada edisi tahun 1966.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.