Oleh Nazrul Aziz
6 Oktober 2023, 15:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Antara 10 pemenang akhir Pertandingan Akhir Gegar Pidato Piala Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (PKPPA) Tahun 2023 bersama-sama Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pengurusan) di Dewan Seri Baiduri, INTAN Bukit Kiara.

Kuala Lumpur – Bertempat di Dewan Seri Baiduri, INTAN Bukit Kiara, berlangsungnya Pertandingan Akhir Gegar Pidato Piala Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (PKPPA) Tahun 2023.

Pertandingan akhir ini telah menampilkan 10 orang finalis yang mewakili jabatan masing-masing, antaranya termasuklah Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Luar Negeri, Kolej Matrikulasi Labuan, Perbadanan Labuan, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda dan Jabatan Penerangan Malaysia.

Gegar Pidato PKPPA ini merupakan satu pertandingan anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam bersempena dengan Karnival Gala Budi, Bahasa dan Budaya 2023.

Pertandingan yang dianjurkan sejak tahun 2015 merupakan inisiatif untuk membantu penjawat awam membina keyakinan dalam kemahiran pengucapan awam.

Sebelum 10 orang peserta ini layak ke pusingan akhir, dua sesi penataraan dilakukan oleh pihak penganjur. Sesi penataraan bagi pusingan satu telah melibatkan 22 orang penjawat awam dan hanya lima peserta yang layak untuk ke pusingan akhir. Bagi pusingan kedua pula, sebanyak 15 orang penjawat awam telah melalui sesi penataraan ini dan hanya lima peserta yang terpilih ke pusingan akhir.

Sebagai langkah persediaan pertandingan Gegar Pidato PKPPA ini, pihak penganjur telah menganjurkan Akademi Pidato Perkhidmatan Awam pada 4 hingga 7 Julai 2023 dan Bengkel Bimbingan Pidato pada 21 dan 22 September 2023.

Tema pertandingan pada kali ini ialah “Mengangkasa Aspirasi Malaysia MADANI”.

Dalam acara pertandingan itu, Encik Mohamad Ika Danial Abdullah dari Kementerian Luar Negeri telah dinobatkan sebagai johan, manakala bagi tempat kedua pula dimenangi oleh Encik Mohd Iqbal Mohammad Nuri (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan tempat ketiga disandang oleh Encik Zulkifly Mohd Yunus (Institut Tadbiran Awam Negara).

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Datuk Azhar Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) sewaktu Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Gegar Pidato PKPPA Tahun 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.