10 Oktober 2023, 12:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena sambutan Hari Pendaftaran Negara (HPN) Jubli Intan ke-75 tahun, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menawarkan program unik dan menarik iaitu “ID Registration Experience” kepada seluruh rakyat Malaysia pada setiap Rabu sepanjang Oktober ini.

Antara senarai aktiviti yang dianjurkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersempena dengan Hari Pendaftaran Negara ke-75 tahun.

Program “ID Registration Experience” atau dikenali sebagai “Pengalaman Menjadi Pendaftar” merupakan tawaran kepada ibu bapa yang ingin merasai pengalaman menjadi pendaftar kad pengenalan pertama kepada anak mereka yang berusia 12 tahun.

Ketua Pendaftaran Negara, Tuan Zamri Misman ketika ditemu bual dalam program “Assalamualaikum”, TV al-Hijrah.

Ketika ditemu bual dalam program “Assalamualaikum” menerusi saluran TV al-Hijrah, Ketua Pendaftaran Negara, Tuan Zamri Misman berkata,

Pada setiap hari Rabu, di ibu pejabat JPN Putrajaya, kita ada ‘ID Registration Experience’, pengalaman bagaimana rakyat menjadi pegawai pendaftar untuk mendaftarkan kad pengenalan.

Menurut beliau, peluang seperti ini sangat jarang-jarang ditawarkan dan hanya diberikan kepada enam orang pemohon terawal.

Selain itu, beliau turut berkongsi,

JPN membuka peluang kepada setiap rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan ‘Foto Kenangan Terindah’, iaitu foto kad pengenalan kali pertama dan foto penggantian rekod edisi khas sempena 75 tahun JPN sebagai kenangan.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan “Foto Kenangan Terindah” boleh mengimbas kod QR yang dilampirkan.

Mengulas lebih lanjut berkenaan “Foto Kenangan Terindah”, Tuan Zamri mengatakan bahawa semua rekod ini disimpan secara rapi di JPN, membuktikan bahawa JPN cekap dan komited dalam menyimpan rekod penting setiap warganegara.

Rakyat Malaysia yang berminat untuk merasai pengalaman sebagai pendaftar atau membeli ‘Foto Kenangan Terindah’ boleh membuat permohonan secara dalam talian menerusi media sosial rasmi JPN.

Terdahulu, Bacaan Yasin Perdana, perkahwinan sivil beramai-ramai, dan pameran rekod termasuklah dalam 128 aktiviti JPN seluruh negara sepanjang bulan Oktober ini bersempena Hari Pendaftaran Negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.