Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTasek Gelugor – Sebanyak 250 pelajar sekolah menengah tingkatan empat di daerah Seberang Perai Utara (SPU) mendapat lesen memandu motosikal (kelas B2) sempena Program MyLesen 2023 di Midtown Tasek Gelugor, Pulau Pinang, semalam.
Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Pulau Pinang, Tuan Adenan Md. Isa, pelajar akan menerima MyLesen B2 setelah mengikuti kelas memandu yang dikendalikan oleh SPM Driving Academy Bertam Sdn. Bhd., Institut Memandu Lima Bintang Abadi Sdn. Bhd., Pusat Latihan Memandu Melati (NT) Sdn. Bhd., I.D.I Driving Institute Sdn. Bhd., Pusat Latihan Memandu Gabungan Usahamaju Sdn. Bhd., Pusat Latihan Memandu Bertam Sdn. Bhd, Akademi Memandu Berjaya Sdn. Bhd. dan Pusat Latihan Memandu Balik Pulau Sdn. Bhd.
Tambah beliau,
Setelah memiliki MyLesen B2, pelajar ini boleh memandu kenderaan sendiri ke mana-mana sahaja lokasi yang disukai.
Pandulah kenderaan dengan cara berhemah mengikut undang-undang yang ditetapkan.
Program anjuran JPJ itu berlangsung di Midtown Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) Pulau Pinang.
Sementara itu, beliau turut berkongsi bahawa kes kemalangan maut di jalan raya kini banyak membabitkan penunggang motosikal yang berusia 16 hingga 20 tahun.
Berdasarkan statistik pada Januari hingga Jun 2023, sebanyak 1889 orang penunggang motosikal meninggal dunia di seluruh negara akibat kemalangan di jalan raya.
Sempena program itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, YB Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican turut melakukan upacara simbolik dengan menyampaikan MyLesen B2 kepada pelajar tersebut.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) daerah Seberang Perai Utara (SPU), Yusoff Shaari.