19 Oktober 2023, 16:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penulisan merupakan satu daripada medium yang digunakan untuk melancarkan idea dan pendapat seseorang individu atau sesebuah pihak kepada sasaran khalayak berkaitan dengan sesuatu isu. Peranan penulisan melalui medium rasmi seperti akhbar tempatan atau medium tidak rasmi seperti media sosial, masih memainkan peranan yang amat besar kepada pembaca. Oleh itu, penulisan yang diterbitkan perlulah mempunyai nilai yang tulus dan tidaklah mengandungi sebarang bentuk fitnah terhadap mana-mana pihak.

Pada masa ini, isu berkaitan konflik antara Palestin dan Israel sedang hangat diperkatakan dalam media massa. Konflik yang berlaku tersebut bukanlah isu yang baharu, namun telah berlaku sejak tahun 1948 lagi. Walau bagaimanapun, sehingga ke hari ini, isu tersebut masih belum selesai, kita masih dapat melihat kesengsaraan masyarakat Arab di Gaza yang tidak pernah berakhir, sebaliknya semakin teruk sehingga berada dalam keadaan darurat. Konflik antara Palestin dan Israel ini telah membawa kepada rampasan tanah, tempat tinggal dan harta benda rakyat Gaza sehingga menyebabkan jumlah kematian dalam kalangan rakyat mereka semakin banyak. Konflik ini berlaku disebabkan oleh sikap tamak dan tidak berperikemanusiaan pihak Zionis. Konflik ini juga dengan jelas menunjukkan kejatuhan sesebuah kaum dan tanah kelahirannya yang disebabkan oleh penjajahan daripada pihak luar.

Berdasarkan isu Palestin dan Israel ini, penyampaian penulisan yang berlegar melalui media massa haruslah dapat dilihat kepentingannya. Hal ini demikian kerana terdapat beberapa medium media massa seperti akhbar luar negara yang menerbitkan artikel yang menyokong pihak Zionis dan dalam masa yang sama menyebarkan propaganda yang mengatakan bahawa pihak Hamas merupakan “pengganas” di dalam konflik ini. Walau bagaimanapun, sudah terang lagi bersuluh bahawa pihak Zionis telah melakukan kekejaman kepada masyarakat Gaza selama bertahun-tahun tanpa simpati dan cuba menakluki wilayah Palestin secara terlarang Penerbitan penulisan yang tidak bertanggungjawab daripada pihak media akan menyebabkan segelintir individu yang kurang berpengetahuan tentang konflik ini akan menyokong pihak yang melakukan kerosakan dan penjajahan. Oleh itu, penulisan yang tulus dan tepat berserta dengan fakta yang tidak diputar belit perlulah menjadi asas kepada pihak yang menerbitkan informasi tentang konflik Palestin dan Israel agar mereka tidak menjadi sumber berita yang berbaur fitnah.

Selain itu, sebarang penulisan melalui media sosial berkaitan dengan konflik Palestin dan Israel juga perlulah ditulis dengan tepat dan tidak wujud sebarang unsur fitnah. Media sosial merupakan medium yang sering digunakan oleh seseorang individu untuk menyuarakan pendapat mereka tentang sebarang isu. Penulisan dalam media sosial mampu mempengaruhi pembaca yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur. Pempengaruh media sosial juga perlu berhati-hati dalam memberikan pendapat mereka berkaitan dengan konflik Palestin dan Israel ini. Hal ini demikian kerana pempengaruh media sosial memainkan peranan utama dalam mendidik pengikut mereka. Oleh itu, adakah mereka ingin menjadi individu yang menyebarkan propaganda yang tidak sahih tentang pihak Palestin dan menyokong penjajahan pihak Israel? Jika tidak, setiap bait kata dan pendapat perlulah diberikan perhatian dan memastikan tiada unsur berita yang tidak sahih. Setiap individu perlulah prihatin terhadap berita yang hendak disebarkan oleh mereka dalam media sosial kerana pihak Israel juga menggunakan medium ini sebagai tempat “pembuangan” penulisan dan propaganda berbaur fitnah terhadap pihak Palestin. Setiap individu perlulah menjadi pengguna media sosial yang bijak dalam menapis berita dan penulisan tidak sahih.

Dalam memastikan Palestin mendapat keadilan yang sepatutnya sebagai pihak yang ditindas, setiap individu dan pihak yang bertanggungjawab perlulah mengambil beberapa langkah sebelum menulis tentang konflik ini dan menerbitkannya. Setiap individu atau pihak yang berkenaan perlulah melakukan pembacaan yang teliti daripada sumber yang tepat dan sahih sebelum berkongsi tentang isu tersebut. Hal ini demikian kerana, pembacaan yang dilakukan daripada sumber yang sahih akan memberikan kesedaran kepada pembaca dan membawa kepada penyebaran penulisan yang benar dan menyebelahi pihak yang ditindas. Bahan pembacaan atau berita yang datang daripada sumber media luar negara juga perlulah ditapis kerana wujud sesetengah pihak yang secara terang-terangan menyokong propaganda Israel dan cuba menutup kekejaman yang dilakukan oleh mereka terhadap rakyat Palestin.

Kesimpulannya, penulisan merupakan satu daripada medium terpenting dalam menyebarkan berita tentang konflik yang berlaku antara Palestin dan Israel. Penulisan yang sahih dari segi sumber dan inti patinya mampu membawa suara golongan yang ditindas ke muka dunia dan sekali gus dapat menyebarkan kesedaran tentang perkara sebenar yang berlaku. Golongan yang ditindas dan dijajah dengan kejam memerlukan bantuan daripada pihak luar. Jika seseorang individu itu tidak mampu menyumbangkan wang ringgit atau tenaga, hasil penulisan yang baik melalui akhbar atau media sosial boleh dijadikan sebagai satu daripada bentuk sumbangan yang bermanfaat. Oleh itu, penulisan yang tepat dan benar mampu menjadi sebahagian daripada perisai kepada berita dan fitnah yang ditaburkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.