26 Oktober 2023, 09:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jufufoto: Mohd Farid Janudin dan Khairul Azhar Baharuddin

Cyberjaya – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan karya terjemahan, karya agung dan karya terpilih di bawah Inisiatif Belanjawan 2023 bersempena dengan majlis pelancaran Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya tengah hari semalam.

Buku yang dilancarkan melibatkan buku terbitan DBP, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Yayasan Karyawan (YK) dan beberapa penerbit swasta, penerbit universiti, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim melihat buku-buku di bawah Inisiatif Belanjawan 2023 selepas majlis pelancaran Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 yang berlangsung di MMU, Cyberjaya, semalam.

Antara buku terbitan DBP yang dilancarkan termasuklah Hikayat Hang Tuah yang dialih aksara oleh Mohammad Haji Salleh dan buku terjemahan daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris, iaitu Tafsir Maudhu’iy: Economy and Finance. Buku lain yang turut dilancarkan ialah 7 Ilmu Pilihan Jilid 1, Reka Cipta Mad dan Ani dan Hikayat Kelana Sita Kembara.

Menerusi pelancaran ini, ITBM menampilkan buku bertajuk 50 Idea Seni Bina yang Patut Anda Ketahui, 50 Peristiwa Sejarah Perang yang Patut Anda Ketahui, Philo Farsworth dan Televisyen, Stesen Pembelajaran: Penyiasatan yang Membentuk Komuniti Pelajar Muda dan Kejuruteraan Awam dan Sains Binaan.

Yayasan Karyawan pula mengangkat karya Kenang-kenangan Selangor, Hikayat Nakhoda Muda, Hikayat Isma Yatim, Hikayat Iskandar Zulkarnain dan Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan dalam pelancaran buku tersebut.

Buku lain yang dilancarkan ialah Tafsir Maudhu’i Sungai (penerbit Akademi Jawi Malaysia Sdn. Bhd.), Malaysia Madani Perspektif Maqasid Syariah (penerbit Ilhambooks), Fatwa-fatwa Perubatan di Malaysia (penerbit Universiti Sains Islam Malaysia), Ceritera Khazanah Pahang (penerbit Universiti Teknologi MARA) dan Melayu di Mata Raffles (penerbit Pujangga Baru Enterprise).

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam majlis pelancaran Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023.

Inisiatif Belanjawan 2023 telah memberikan manfaat kepada 36 penerbit, dan agensi termasuklah DBP, ITBM dan YK dengan penerbitan sebanyak 402 judul buku yang meliputi karya terjemahan, karya agung dan karya terpilih.

Buku-buku yang diterbitkan ini akan diedarkan kepada khalayak seperti sekolah, perpustakaan dan agensi yang dikenal pasti di seluruh negara.

Penerbitan buku di bawah inisiatif ini antara usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat ke arah melahirkan masyarakat MADANI yang berilmu, berketerampilan dan berdaya cipta. Semasa pembentangan Belanjawan 2023, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa:

Dewan Bahasa dan Pustaka bersama-sama dengan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, serta Yayasan Karyawan diberi mandat mempergiat aktiviti terjemahan dan menjadikannya sebagai bahan bacaan yang disukai ramai. Aktiviti penerbitan bermutu tinggi oleh penulis tempatan juga akan ditingkatkan. Sebanyak 20 juta ringgit disediakan untuk tujuan ini.

Antara buku yang diterbitkan di bawah Dana Penerbitan Inisiatif Belanjawan 2023.

Dana Penerbitan Inisiatif Belanjawan 2023 bertujuan untuk meningkatkan jumlah penerbitan karya terjemahan dan karya agung serta karya terpilih dalam pelbagai bidang ilmu untuk pelbagai peringkat pembaca oleh DBP, ITBM dan YK. Bagi merancakkan industri penerbitan negara, DBP turut menyalurkan dana di bawah inisiatif tersebut kepada penerbit, agensi dan pihak lain.

Menurut Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari,

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari.

DBP selaku urus setia dalam menguruskan dana ini dengan kerjasama ITBM, serta Yayasan Karyawan amat berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas inisiatif yang diberikan bagi kepentingan pembudayaan ilmu, pemberdayaan insan serta ketamadunan bangsa.

Saya percaya bahawa banyak manfaat diperoleh menerusi Inisiatif Belanjawan 2023 ini bukan sahaja kepada pelajar dan masyarakat, bahkan kepada pemain industri penerbitan dalam merancakkan kembali dunia pengkaryaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.