26 Oktober 2023, 16:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pemenang Peraduan Teka Harga dan Berat Buku bergambar bersama-sama Puan Jennitah Noordin, Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sabah dan petugas Kedai Buku DBP Cawangan Sabah.

Kota Kinabalu – Penyampaian hadiah Peraduan Teka Harga dan Berat Buku telah disempurnakan oleh Puan Jennitah Noordin, Timbalan Pengarah 1, DBP Cawangan Sabah pada petang tadi.

Peraduan ini terbuka kepada semua pengunjung Pameran dan Jualan Buku sempena Karnival Semarak Bahasa yang berlangsung di DBP Cawangan Sabah pada 17 hingga 18 Oktober 2023.

DBP Cawangan Sabah menerima kira-kira 50 penyertaan dan peserta yang memberikan jawapan paling hampir telah dipilih sebagai pemenang. Empat pemenang, iaitu Puan Fauziah Daud, Puan Suriah Jamil, Puan Latifah Kassim dan Puan Juliana Talip membawa pulang baucar buku bernilai RM50 setiap seorang. Baucar tersebut boleh ditebus dengan pembelian buku di Kedai Buku DBP Cawangan Sabah.

Menurut Puan Jennitah Noordin, peraduan ini bukan sahaja dilihat sebagai satu daripada tarikan pengunjung semasa karnival, tetapi mampu mewujudkan masyarakat berbudaya membaca dan cinta akan ilmu, bertepatan dengan objektif penganjuran Karnival Semarak Bahasa pada tahun ini.

Pengunjung yang hadir ke pameran dan jualan buku bersempena dengan Karnival Semarak Bahasa.

Pelaksanaan peraduan ini turut dianggap sebagai satu daripada inisiatif DBP Cawangan Sabah untuk memperkenalkan dan mempromosikan Kedai Buku DBP Cawangan Sabah kepada orang awam.

DBP Cawangan Sabah akan terus menggalas tanggungjawabnya sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menyuntik semangat cinta akan bahasa kebangsaan melalui kegiatan membaca, khususnya di negeri Sabah.

Keterujaan para pemenang lebih terserlah apabila mereka menyatakan harapan supaya DBP Cawangan Sabah terus menganjurkan karnival sebegini agar orang awam dapat berkunjung, sekali gus menyertai pelbagai program yang membolehkan masyarakat lebih mengenali DBP.

“Kami berasa sangat gembira dan bertuah kerana terpilih sebagai pemenang peraduan ini,” ujar Puan Fauziah Daud, salah seorang pemenang Peraduan Teka Berat dan Harga Buku sempena Karnival Semarak Bahasa.

DBP Cawangan Sabah mengucapkan tahniah kepada semua pemenang Peraduan Teka Harga dan Berat Buku. Pelibatan orang awam dalam peraduan ini menunjukkan sambutan yang positif terhadap penganjuran Karnival Semarak Bahasa pada tahun ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.