30 Oktober 2023, 21:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Khairul Azhar Baharuddin

Majlis penyampaian hadiah bagi pemenang Sayembara Penulisan dan Deklamasi Puisi Alam Sekitar Peringkat Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan Universiti Awam 2023 diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, petang ini.

Kuala Lumpur — Sekolah dan universiti perlu dilihat bukan sekadar berperanan sebagai tempat penyaluran ilmu semata-mata, tetapi juga sebagai medium kawalan sosial untuk melahirkan modal insan yang berpendidikan tinggi serta memiliki keperibadian yang berkualiti.

Peranan guru dan pensyarah sangat penting dalam memberikan tunjuk ajar dan bimbingan kepada pelajar dan mahasiswa agar objektif pembentukan sahsiah dan jati diri mereka menerusi seni sastera dapat disemai dengan subur.

Dalam ucapan perasmian penutupan Sayembara Penulisan dan Deklamasi Puisi Alam Sekitar Peringkat Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan Universiti Awam 2023, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Tuan Haji Azman Adnan menyatakan bahawa sastera merupakan jiwa masyarakat yang perlu dipertahankan sebagai legasi tamadun bangsa dan negara yang unggul.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Tuan Haji Azman Adnan.

Pihak kementerian amat berharap agar inisiatif Kumpulan UMW memartabatkan seni kreatif puisi ini dapat membuka jalan kepada pelibatan lebih banyak agensi korporat dan sektor swasta untuk melaksanakan program seumpama ini agar kita dapat seiring membangunkan dan melestarikan budaya seni kreatif puisi dalam kalangan masyarat khususnya generasi muda,” ujar beliau yang mewakili Menteri Pendidikan.

Pegawai Urusan dan Presiden Bahagian Jentera, Kumpulan UMW, Encik Megat Shahrul Azmir Nordin turut menyatakan bahawa UMW terpanggil untuk turut sama memainkan peranan mengangkat seni budaya puisi ini sebagai satu daripada tanggungjawab sosial dalam memartabatkan dunia seni, budaya dan sastera.

Sebagai langkah penambahbaikan pelaksanaan Sayembara tahun lalu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kumpulan UMW telah membangunkan modul pembelajaran teknik penulisan dan deklamasi puisi secara dalam talian yang dikenali sebagai e-Puisi. Menerusi e-Puisi, peserta diberi bimbingan untuk menghasilkan karya dalam bentuk puisi.

Pegawai Urusan dan Presiden Bahagian Jentera, Kumpulan UMW, Encik Megat Shahrul Azmir Nordin.

Sebanyak 969 pelajar menyertai sayembara pada tahun ini berbanding dengan 60 orang pelajar sahaja pada tahun lepas. Peningkatan ini sedikit sebanyak menunjukkan bahawa impak atau kesan secara langsung terhadap penggunaan teknologi yang membolehkan lebih ramai pelajar mendapat manfaat daripada inisiatif yang telah dianjurkan ini.

Sementara itu, Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola DBP berkata,  DBP akan terus menyokong teras KPM dengan memberikan penekanan kepada aspek karamah insaniah, iaitu dengan memberikan penekanan kepada pembentukan karakter, adab, akhlak, disiplin, dan integriti melalui penganjuran pertandingan seperti ini.

Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Yang lebih penting ialah kehalusan nilai dan mutu karya perlu sentiasa ditingkatkan agar karya sastera kita berada di persada yang tinggi dan mampu memberikan sumbangan dalam pembangunan tamadun negara bangsa.

Turut hadir bersama-sama dalam majlis terebut ialah Pengerusi Lembaga Jawatankuasa Penyemak, Kumpulan UMW, Encik Razalee Amin; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP,  Tuan Haji Md Johari Hasan; dan Ketua Pegawai Sumber Manusia, Kumpulan UMW, Encik Zailani Ali.

Sayembara anjuran Kumpulan UMW dengan kerjasama DBP ini dilaksanakan sebagai satu daripada inisiatif korporat untuk mengangkat martabat dan nilai seni puisi serta memupuk kecintaan pelajar terhadap kesusasteraan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.