30 Oktober 2023, 23:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Dalam meningkatkan kolaborasi dengan pelbagai pihak, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menganjurkan seminar “Beyond Headlines – A New Era of News” pada hari ini yang mengumpulkan pakar industri dan ilmuwan untuk membicarakan cabaran dalam landskap media Malaysia.

Seminar yang telah dianjurkan ini memberikan fokus terhadap bidang tumpuan utama, termasuklah membanteras penyampaian maklumat yang salah, menggalakkan pelaporan yang beretika, mengurus kebanjiran maklumat dan menekankan pemikiran kritis masyarakat. Ahli panel yang diundang turut membincangkan peranan penting organisasi berita dalam menerapkan ketelusan, pelaporan yang beretika dan pengawalan kendiri, menangani cabaran seperti pelaporan topik sensitif, pengaruh teknologi dan sifat kewartawanan era digital yang kian berkembang.

Dalam ucapan pembukaan majlis, YBhg. Datuk Zulkarnain Mohd Yasin, Ketua Pegawai Kawal Selia SKMM, menitikberatkan peri penting kerjasama antara media tradisional dengan media baharu. Beliau juga menyeru pengamal media agar sentiasa mengekalkan kesederhanaan dan kestabilan dalam penyebaran berita.

Penceramah ucaptama, YBhg. Prof. Dato’ Sri Dr Syed Arabi Syed Abdullah Idid, Profesor di Jabatan Perhubungan, UIAM (dua dari kanan) bersama-sama dengan YBhg. Datuk Zulkarnain Mohd Yasin, Ketua Pegawai Kawal Selia SKMM (tiga dari kanan). Puan Mediha Mahmood, Pengarah Eksekutif Forum Kandungan (paling kiri); Puan Eneng Faridah Iskandar, Pengarah Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pengguna & Industri SKMM (dua dari kiri);  dan Puan Anira Che Ani, Setiausaha Kehormat Forum Kandungan (paling kanan).

Menjawab pelbagai perspektif tentang perkara yang “memudaratkan”,  beliau menyatakan,

Terdapat tanggungjawab bersama antara pengawal selia dengan wartawan dalam menyemak fakta. Kod Kandungan, sebuah panduan komprehensif oleh CMCF, menawarkan pandangan berharga untuk pengamal media mengemudi industri yang dinamik melalui kawalan kendiri.

Seminar yang diadakan turut menyentuh tentang peranan penting media dalam menyesuaikan diri, dan mendepani perubahan dan teknologi maklumat. Dalam menghadapi kebanjiran maklumat, organisasi berita merupakan kubu terakhir yang berperanan untuk menyemak fakta. Perbincangan dalam seminar tersebut juga tertumpu pada kebimbangan yang semakin meningkat mengenai percambahan maklumat yang salah, memberikan penerangan tentang potensi peranan kecerdasan buatan (AI) dalam membezakan berita palsu, termasuklah menentukan individu yang terlibat dalam aktiviti dalam talian yang berniat jahat, yang biasanya dirujuk sebagai tentera siber.

Perbincangan ini turut menekankan kewaspadaan apabila menggunakan sistem semakan fakta yang dipacu AI dan kepentingan “semakan terhadap penyemak fakta.” Memanfaatkan AI juga turut dikatakan dapat memberikan kelebihan besar dalam bidang kewartawanan dengan kebolehan menganalisis set data yang luas secara pantas, dan menawarkan alat penting untuk menangani maklumat salah dalam era digital.

Selain pilihan pengguna yang sering berubah, pelantar media bergelut dengan keperluan untuk menyesuaikan diri, terutamanya disebabkan oleh keutamaan generasi muda untuk mendapatkan maklumat ringkas dan bersaiz ringan. Penyesuaian ini meliputi keperluan menyesuaikan kandungan untuk pelbagai format berita, terutamanya pelantar media baharu muncul seperti media sosial, untuk melibatkan diri secara berkesan dengan generasi baharu pengguna kandungan ini.

Para pakar yang hadir turut membincangkan interaksi kompleks media dan politik, menangani kebimbangan mengenai bias dan pengaruh media terhadap pendapat umum. Cabaran ini juga menekankan keseimbangan yang diperlukan antara memenuhi permintaan pengguna untuk mendapatkan maklumat dengan mengekalkan prinsip pelaporan yang bersifat neutral.

Antara panel yang hadir bagi membicarakan pelbagai isu tentang dunia kewartawanan dalam seminar “Beyond Headlines – A New Era of News”.

Dalam meneroka pelbagai aspek tanggungjawab media, ahli panel turut mengingatkan pengamal media agar mengimbangi sensitiviti, etika dan inklusif dalam kewartawanan, Selain itu, panel turut membicarakan kesan data carian Google terhadap arah aliran dan menekankan keperluan untuk pelaporan berita tanpa diskriminasi kerana perkara tersebut berupaya membentuk pendapat umum. Perbincangan turut diperluas dalam hal yang berkaitan dengan kaedah bagi menangani isu utama seperti mengurangkan stigma mengenai pelaporan kes bunuh diri, mencabar stereotaip berbahaya, ucapan bernada kebencian dalam talian, melindungi privasi kanak-kanak dan menyokong penceritaan yang berperikemanusiaan, terutamanya berkaitan dengan masyarakat terpinggir dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Dalam perkara ini, wartawan diingatkan agar memikul tanggungjawab bagi memerangi stigma dalam pelaporan, terutamanya mengenai topik sensitif dan mengelakkan tajuk berita sensasi yang boleh mengeruhkan lagi isu masyarakat atau menyemarakkan lagi perkara yang stereotaip.

Seminar itu turut menekankan peranan penting teknologi, dan mengiktiraf sumbangannya terhadap perniagaan yang mampan, termasuklah penggunaan media sosial sebagai saluran berita. Walau bagaimanapun, kebimbangan mulai timbul terhadap landskap persaingan, terutamanya apabila berurusan dengan algoritma yang rumit dan waktu strategik penerbitan berita, yang melibatkan faktor masa yang terhad dan membawa akibat yang ketara. Di samping itu, mengemudi alam media sosial juga dikatakan sebagai satu cabaran besar kerana pengaksesan yang mudah membuka ruang untuk penyebaran berita palsu dan maklumat salah.

Dalam era digital, ruang berita juga berdepan dengan cabaran apabila menerima pengaruh AI. Hal ini demikian kerana perkara ini turut memberikan pelbagai spektrum perspektif. Ada sesetengah pengamal media menyuarakan kebimbangan mengenai potensi pemberhentian kerja dan keseragaman, manakala yang lain menganggap AI sebagai alat untuk memupuk pemikiran kreatif dan kepelbagaian linguistik. Pada dasarnya, sesi itu menekankan keseimbangan yang rumit antara penerimaan kemajuan teknologi dengan pemeliharaan nilai teras kewartawanan.

Sebagai penutup seminar, Encik Kenny Ong, Pengerusi CMCF berkata,

Kami tidak mempunyai semua jawapan, kerana peranan CMCF bukanlah untuk menyediakan jalan penyelesaian tetapi menawarkan alat untuk menemuinya. Penyelesaian yang dicari mesti dibuat oleh rakyat Malaysia, untuk rakyat Malaysia, dengan mengambil kira nilai unik kami. Kami tetap berdedikasi untuk memperjuangkan kawalan kendiri, kerana kami percaya ia adalah penyelesaian yang optimum, dengan Kod Kandungan kami yang sentiasa dikemas kini juga kami mengalu-alukan input media yang berharga untuk penambahbaikan secara berterusan. Sertai perbahasan, dan bersama-sama, kita akan membuat perubahan yang diperlukan.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.