Oleh Ruzaini Ijon
1 November 2023, 19:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bachok – Autisme merupakan isu yang umumnya masih tidak banyak diketahui dalam konteks Negara Malaysia. Terapi autisme boleh dilaksanakan seawal umur kanak-kanak. Kanak-kanak autisme merupakan kanak-kanak yang menghadapi masalah dengan perkembangan kognitif dan tingkah laku mereka. Kebanyakan terapi yang ada pada masa ini tertumpu pada penerapan kemahiran asas pengurusan diri di awal perkembangan mereka.

Sekumpulan penyelidik daripada Marginalised Communities Research Group, Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah mengambil peluang meneroka kaedah terapi yang dapat menyokong komuniti kanak-kanak autisme khususnya di Negeri Kelantan melalui kerjasama dengan Agro Techno Park UMK, Kelab Penyayang UMK dan Pusat Jagaan Autisme Kelantan (KACC).

Program percubaan pada kali ini yang diadakan pada pagi tadi melibatkan sebanyak 21 orang kanak-kanak autisme dan lima orang guru daripada KACC. Mereka dibantu oleh 20 orang sukarelawan Kelab Penyayang UMK. Antara aktiviti yang dijalankan dalam program ini termasuklah memancing ikan dan memberi makan burung. Tempat yang dipilih adalah dalam kawasan UMK Kampus Bachok, iaitu tasik utama dan kandang burung.

Kanak-kanak autisme sedang melakukan aktiviti memancing semasa program berlangsung.

Prof. Madya Dr. Yohan Kurniawan yang merupakan ketua penyelidik program berpendapat bahawa UMK Kampus Bachok berpotensi untuk membangunkan pakej terapi kepada komuniti autisme. Keindahan dan kemudahan tersedia di kampus boleh dimanfaatkan dalam pelaksanaan terapi emosi ini. Dalam percubaan yang lepas, kumpulan kanak-kanak autisme ini telah dibawa ke ladang dan hutan mini di UMK Kampus Bachok. Ladang Pengajar dan Keusahawanan Veterinar telah dimanfaatkan bagi percubaan terapi bagi mengenali haiwan ternakan seperti kuda, rusa, lembu dan kambing kepada kanak-kanak autisme. Mereka diberi peluang merasai sendiri pengalaman di ladang dan memberi makan haiwan ternakan.

Pergerakan mereka dipantau sepanjang masa oleh petugas terlatih.

Kumpulan kanak-kanak ini seterusnya dibawa merentas hutan yang terletak di dalam Creative-Techno-Park UMK sebagai pendedahan kepada kehijauan tumbuh-tumbuhan liar. “Program seperti ini diharap dapat memperkenalkan komuniti autisme dengan kampus universiti selaras dengan hasrat UMK yang ingin memasyarakatkan kampus,” jelas Prof. Madya Dr. Yohan Kurniawan lagi.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.