4 November 2023, 12:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Sebanyak 50 orang peserta yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan serta ketua-ketua unit Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perlis mengambil bahagian dalam “Klinik Golf Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama Ketua-ketua Jabatan Negeri Perlis Tahun 2023” yang berlangsung di Kelab Golf Putra (KGP) Perlis, Sungai Batu Pahat, Kangar.

DYTM Raja Muda Perlis berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian penutup klinik golf ini.

Majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Presiden KGP Perlis.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Global Business Solutions TNB, Datuk Ahmad Hushairi Ibrahim; Pengurus Besar TNB Negeri Perlis/Kedah, Wan Ishak Soed dan Ketua Perkhidmatan Pengguna TNB Perlis, Azian Alias.

Klinik Golf TNB adalah bertujuan untuk memperkenalkan dan menarik minat kakitangan untuk menceburi sukan ini,

Klinik golf ini dianjurkan oleh pihak TNB bertujuan untuk menjalinkan hubungan silaturrahim dan ukhuwah bersama-sama dengan ketua-ketua jabatan negeri Perlis dan merupakan platform untuk memperkenalkan sukan golf serta menarik minat para peserta terhadap sukan ini.

Tuanku Raja Muda juga percaya bahawa program ini akan dapat menarik minat para peserta untuk terus berlatih dan meningkatkan kemahiran masing-masing dan seterusnya menjadi ahli tetap Kelab Golf Putra, di samping melibatkan kakitangan di agensi masing-masing untuk turut serta dalam sukan ini.

DYTM Raja Muda Perlis (tengah) berkenan menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang.

Antara pembimbing khas para peserta dalam klinik tersebut termasuklah lagenda hoki negara yang berkhidmat dengan TNB seperti Nor Saiful Zaini Nasiruddin, Mohd Madzli Ikmar Mohd Nor, M. Kaliswaran, Nor Azlan Bakar, Hizzat Sumantri dan Muhamad Azammi Abadi.

Menurut Wan Ishak pula, TNB juga memberikan fokus dalam memacu aspirasi peralihan tenaga dan turut menekankan aspek sosial di bawah amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Tambah beliau lagi:

Kami percaya bahawa sukan mampu menjadi wadah dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan bersatu padu.

Salah sebuah program yang dianjurkan oleh TNB, iaitu Liga Teqball Malaysia 2023.

Untuk rekod, saban tahun TNB Perlis menganjurkan program-program tahunan  yang menarik dalam sesi bersama-sama dengan ketua-ketua jabatan ini seperti Eksplorasi 4 Wheel Drive dan Teqbal (2022), Explorace di Program Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai, Kuala Perlis (2021) dan Woodball serta kayuhan berbasikal sebelum COVID-19 melanda dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.